Adun Bukit Tengah PKR Gooi Hsiao Leung menyatakan pendirian menyokong Saifuddin Nasution untuk menjadi timbalan presiden PKR seterusnya, berbanding pesaingnya Rafizi Ramli.

Gooi berkata Saifuddin calon yang sesuai untuk membantu parti merapatkan barisan dan bekerjasama di bawah teraju Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelang pilihan raya umum ke-15.

"Gesaan Saifuddin untuk perpaduan, kerja berpasukan dan kerjasama - saya pasti akan diterima baik oleh ahli parti yang ingin melihat pergaduhan berpuak-puak dalam parti berakhir.

“Kita tidak boleh membenarkan pemilihan parti kita bertukar menjadi permainan campur tolak (zero-sum) terutamanya apabila pilihan raya umum ke-15 semakin hampir.

"Seperti yang Saifuddin tegaskan - kita mesti mengiktiraf dan menerima pengorbanan dan sumbangan semua ahli kita.

"Walaupun keputusan menang atau kalah katanya (Saifuddin), setiap ahli parti harus diterima, dan mempunyai peranan untuk dimainkan dalam perjuangan parti kita," kata Gooi.

Untuk rekod, teori politik mainan campur tolak merujuk keadaan yang menggambarkan keuntungan kepada sesuatu pihak dan membawa kerugian kepada pihak lain. Keadaan ini hanya membenarkan seorang juara dan kemenangan tidak boleh dikongsi bersama pihak yang kalah.

Gooi (gambar, bawah) menyahut nasihat Anwar bahawa kejayaan parti itu tidak seharusnya diukur dengan jawatan atau bilangan wakil rakyat tetapi keupayaan PKR menterjemah agenda reformasinya.

"Untuk mencapai objektif dan perjuangan parti kita membawa perubahan bermakna untuk Malaysia yang lebih baik, kita mesti bermula dengan menyusun rumah kita sendiri.

“Dan saya percaya Saifuddin berada di landasan yang betul dengan mengumpulkan semua orang untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dan menyiapkan parti bersedia untuk pilihan raya umum ke-15.

"Saifuddin tidak diragukan lagi orang terbaik untuk jawatan timbalan presiden. Beliau tidak dinafikan tetap setia, teguh dan tidak berbelah bahagi dalam berkhidmat kepada parti dan pernah melalui babak terbaik dan terburuk dalam sejarah parti kita," katanya.

Gooi berkata Saifuddin telah "seolah-olah memikul" tanggungjawab timbalan presiden dan naib presiden PKR selepas beberapa jawatan parti kosong susulan pemimpinnya berpaling tadah dalam Langkah Sheraton.

Gooi berkata dia menyokong wawasan Saifuddin yang menyentuh mengenai kepentingan diplomasi politik dalam keadaan tiada satupun parti yang boleh membentuk kerajaan.

“Ini bukan masanya untuk terganggu dengan persaingan personaliti, idea dan berpuak-puak,” katanya.

Saifuddin dan Rafizi dijangka akan bertembung merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Mei ini.

Antara yang menyokong Rafizi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang yang bertanding jawatan naib presiden PKR.

[Baca berita asal]