Mustafa: Negara Islam hanyalah isu kecil
Versi negara Islam PAS sebenarnya satu 'isu kecil' yang telah diperbesar-besarkan sedang ia hanya satu istilah yang digunakan untuk menjelaskan prinsip-prinsip Islam kepada penduduk kampung, kata seorang pemimpin kanan PAS.
Versi negara Islam PAS sebenarnya satu 'isu kecil' yang telah diperbesar-besarkan sedang ia hanya satu istilah yang digunakan untuk menjelaskan prinsip-prinsip Islam kepada penduduk kampung, kata seorang pemimpin kanan PAS.
"Saya fikir ia adalah satu isu kecil yang telah diperbesar-besarkan. Kita tidak lagi mengadakan perbincangan atau forum terbuka mengenai negara Islam," kata Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali dalam wawancara melalui telefon dengan malaysiakini.
Walaupun parti itu bertekad untuk mewujudkan negara Islam sekiranya ia berkuasa dan melancarkan dokumen mengenai cadangan penubuhannya pada November 2003, Mustafa menegaskan, negara Islam hanyalah satu istilah yang digunakan untuk menandakan perjuangan PAS.
"Ia hanyalah satu istilah yang kita gunakan di kampung-kampung, contohnya kepada orang Melayu. Jika anda berkata sesuatu, bahawa rakyat mesti menurut prinsip-prinsip Islam, cara paling ringkas mengatakannya adalah negara Islam...ianya untuk mereka yang kurang faham.
"Saya tidak boleh katakan bahawa menggunakan istilah negara Islam itu adalah salah kerana ia hanyalah satu istilah yang digunakan, untuk pendengar tertentu," hujah Mustafa.
Perbincangan ditangguhkan
Beliau bagaimanapun mengelak menjawab secara terus terang apabila ditanya sama ada PAS telah menggugurkan dokumen negara Islam itu, Beliau hanya berkata perbincangan dan usaha memperjelaskannya telah ditangguhkan.
"Selepas penjelasan kita (mengenai negara Islam) dan rakyat masih belum faham, maka saya fikir lebih baik kita menumpukan kepada isu-is lain yang rakyat mudah faham," katanya.
Kepimpinan PAS dilaporkan telah bersetuju untuk "melembutkan" pendiriannya berhubung negara Islam pada awal 2005, selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu sehingga Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula Terengganu dan hanya mampu mempertahankan Kelantan dengan majoriti kecil.
Bagaimanapun, kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak disenangi oleh beberapa badan hak asasi manusia baru-baru ini selepas is mengancam untuk mendenda wanita yang berpakaian seksi.
Dalam mempertahankan tindakan tersebut, Mustafa berkata, pelaksanaan kod pakaian kontroversi itu adalah atas permintaan penduduk dan mereka menerima peraturan baru itu.
"Kami akan melakukan perkara-perkara yang kami mahu lakukan. Kami mahu melihat orang ramai berpakaian sopan mengikut ajaran Islam, terutama di kalangan Umat Islam," tegasnya.
Dalam pada itu, PAS, kata Mustafa, akan terus berpegang kepada perjuangannya yang berdasarkan Islam sebenarnya dan bukannya persepsi orang ramai terhadapnya.
Beliau juga percaya bahawa Umno yang memerintah Terengganu menjadi 'lebih Islam' hari ini kerana kehadiran PAS.
"Jika PAS tidak ada di Malaysia, saya tidak fikir Umno akan menjadi lebih Islam...," katanya. Berita asal

