KPDNHEP akan tingkatkan penguatkuasaan di stesen minyak
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di semua stesen minyak berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, khususnya yang terletak berhampiran sempadan dan pintu masuk darat.
Menterinya Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan merujuk kepada gambar yang menunjukkan pemilik kenderaan asing mengisi keretanya dengan bahan api bersubsidi RON95.
“Kementerian memandang serius perkara ini dan saya telah mengarahkan bahagian penguatkuasa kementerian untuk menjalankan siasatan segera.
"Saya juga telah mengarahkan pengawasan yang lebih agresif di semua stesen minyak, terutamanya yang terletak berhampiran negara jiran untuk mengelakkan kebocoran petrol bersubsidi untuk kenderaan asing," kata Alexander.
Pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April dijangka merancakkan aktiviti ekonomi termasuk di Johor, Kelantan dan Kedah dengan sempadan darat ke Singapura dan Thailand.
Awal hari ini, bekas perdana menteri Najib Razak berkongsi di Facebook gambar tular itu, dan berkata bahawa harga RM2.05 seliter untuk petrol RON95 meletakkan Malaysia antara negara dengan harga paling murah di dunia.
Malah, kata Najib, petrol RON97 yang dibenarkan untuk dijual kepada warga asing pada harga RM3.91 seliter masih rendah berbanding negara jiran.
Selanjutnya, Alexander berkata penguatkuasaan yang lebih agresif akan dijalankan dengan pelancaran Ops Pantau 2022 hari ini.
“Selain memastikan bekalan barangan mencukupi yang dijual pada harga yang munasabah, Ops Pantau 2022 juga akan memastikan tahap pematuhan tinggi oleh peniaga, berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa,” katanya.
Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta jika didapati bersalah melanggar syarat berkaitan penjualan barang kawalan.

