Perjanjian tol wujudkan mesin buat duit
Pembangkang hari ini mendakwa perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Litrak, jelas berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.
Pembangkang hari ini mendakwa perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Litrak, jelas berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.
Perjanjian tersebut didraf sebegitu rupa di mana ia memberi kuasa yang sedikit kepada kerajaan tetapi sebaliknya menjadi Litrak 'mesin membuat wang', kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut satu dokumen yang didedahkan oleh Tian yang turut mendakwa perjanjian setebal 200 muka surat itu ditandatangani pada 23 April 1996, antara Kerajaan dengan Litrak, ia membenarkan syarikat konsesi itu meneruskan kutipan tol tidak kira sama ada ia mengaut keuntungan ataupun sebaliknya.
Beliau mendakwa, kerajaan tidak mempunyai banyak kuasa dalam perjanjian tersebut, sedangkan syarikat konsesi boleh meneruskan kutipan tol, tidak kira berapa banyak kutipan yang telah dibuat.
"Ini sangat berbeza dengan konsep lama pengswastaan di mana syarikat konsesi dibenarkan membuat kutipan dalam tempoh yang ditetapkan. Selepas itu, plaza tol akan ditutup dan syarikat konsesi perlu menyerahnya balik kepada kerajaan," tambahnya.
Pemimpin DAP, Ronnie Liu yang turut hadir berkata, syarikat Litrak yang ada kaitan dengan Umno itu, telah memperolehi semula kos pembinaan lebuhraya itu tiga tahun selepas ia mula beroperasi dan mencatatkan keuntungan sejak tahun 2002.
Menurut laporan tahunan Litrak bagi 2006, syarikat tersebut mencatat rekod baru dengan perolehan kutipannya sebanyak RM243 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2006, dengan keuntungan bersih sebanyak RM80 juta.
Kadar tol tetap
Sementara itu, Tian juga mendakwa, kerajaan telah 'berbohong' apabila mengatakan ia sedang berunding dengan syarikat konsesi untuk mengurangkan kadar tol, sedangkan kadarnya telah ditetapkan di bawah perjanjian untuk keseluruhan tempoh konsesi selama lebih 30 tahun sejak 1998.
Sebagai contohnya, di bawah jadual bayaran tol yang dipersetujui, kenderaan kelas 1 yang menggunakan LDP perlu membayar RM1.50 dari tahun 1998 hingga 2006, RM2.10 dari tahun 2007 hingga 2015 dan RM3.10 bagi tahun 2016 hingga akhir tempoh konsesi.
Pemimpin PKR itu berkata, cara pengiraan kos yang dibuat adalah tidak telus dan tidak juga diperjelaskan.
"Tidak ada ruang untuk membuat penyesuaian dalam perjanjian ini. Ini adalah satu lagi kontrak kerajaan yang tidak memberi faedah kepada rakyat," kata Tian, sambil berkata, beliau percaya perjanjian konsesi lebuhraya yang lain juga adalah sama dengan perjanjian Litrak yang diperolehinya.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan supaya mendedahkan segera baki perjanjian konsesi itu untuk diperiksa oleh rakyat bagi meyakinkan mereka bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian yang terbaik dengan syarikat konsesi lebuhraya.
Gubal akta maklumat
Ditanya bagaimanakah dia memperolehi perjanjian tersebut, Tian tidak menjawab secara terus terang.
"Orang yang memberikan kontrak itu kepada kami mengambil risiko yang besar. Pihak berkuasa mungkin telah meletakkan cop Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada perjanjian kemudiannya dan OSA boleh dikuatkuasa secara tinjau balik (retrospective). Bagaimanapun, kami terpaksa mengambil risiko itu demi kepentingan awam," katanya.
Dalam hubungan ini, Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut hadir, menggesa kerajaan supaya menggubal Akta Kebebasan Maklumat untuk melindungi pengaliran maklumat secara bebas dan mereka yang mendedahkannya.
Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah barisan pemimpin PKR Dr Xavier Jeyakumar, Dr Sanusi Osman Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dan anggota gabungan Bantahan Kenaikan Tol di Lembah Klang.
Pada 14 Disember lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar baru tol di lima lebuhraya LDP, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie yang dinaikkan antara 20 hingga 60 peratus berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Pengumuman itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional MCA yang mengadakan demonstrasi Jumaat lalu di lebuhraya LDP, manakala gabungan parti pembangkang dan pertubuhan sivil merancang mengadakan
bantahan
besar-besaran Ahad ini.
Berita asal

