Polis perlu perbaiki proses laporan keganasan rumah tangga - Awam
All Women’s Action Society (Awam) menyeru pihak polis untuk menyediakan proses pelaporan yang lebih selamat untuk mangsa keganasan rumah tangga memandangkan pasukan keselmatan itu memainkan peranan penting dalam mengendalikan kes keganasan berasaskan jantina.
Hal itu katanya boleh dilakukan dengan memastikan kepekaan dan kesedaran tinggi dalam kalangan pegawai yang menguruskan kes keganasan rumah tangga, menjalankan latihan kepekaan gender serta pengetahuan dan kesedaran keganasan berasaskan gender (GBV) serta latihan pengurusan kes.
Awam berkata demikian selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai yang enggan menerima laporan mengenai keganasan rumah tangga.
Dalam satu kenyataan, Awam berkata walaupun mereka menghargai keseriusan pihak polis dalam menangani isu itu, mereka juga mempersoalkan sama ada proses dijalankan sewajarnya.
“Adakah arahan ini termaktub dalam dokumen dan dipamerkan di kawasan yang boleh dilihat secara fizikal di balai polis atau laman web yang mudah diakses oleh semua pegawai polis?
“Adakah arahan ini dimasukkan dalam taklimat kepada pegawai polis di semua peringkat secara berkala sambil memastikan mereka sedar dan memahami kandungan arahan secukupnya?” soalnya.
Terdahulu, Abdul berkata pihak polis mengambil perhatian serius terhadap anggotanya yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga.
Menurut Awam, keengganan menerima laporan biasanya disebabkan oleh andaian bahawa mangsa keganasan berasaskan jantina akhirnya akan menarik balik laporan yang dibuat mereka.
Andaian ini katanya berdasarkan pengalaman pegawai polis dalam menangani mangsa yang terselamat dalam kes-kes keganasan rumah tangga yang lepas.

