Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan umum bonus khas RM500 untuk kakitangan awam
Diterbitkan:  Apr 5, 2022 12:50 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas kewangan Aidilfitri atau bonus sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju beri sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Dia berkata, bayaran bantuan khas berkenaan akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April pada 25 April ini.

“Sukacita diumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan khas kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan khas itu melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

Ismail Sabri berkata, pengumuman pemberian bantuan khas Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu pernjawat awam membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut hari raya.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Lihat Komen
ADS