Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan penghantar makanan kes serangan seksual di Cyberjaya
Diterbitkan:  Apr 6, 2022 2:45 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Polis hari ini menahan seorang penghantar makanan berhubung kes serangan seksual di pusat perniagaan Tamarind Square, Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek berusia 20 tahun ditangkap oleh pasukan yang ditugaskan memburu pelaku kes itu, tengah hari ini.

“Saya baru dimaklumkan suspek sudah berjaya ditangkap, dia kini dalam tahanan polis,” katanya kepada media dalam kumpulan WhatsApp.

Menurut Kamarul Azran, polis berjaya mengesan suspek berdasarkan rakaman CCTV yang diambil daripada pengurusan Tamarind Square.

"Rakaman menunjukkan suspek menggunakan motosikal Yamaha Lagenda ke sana. Dia meletakkan motosikal di tempat letak kenderaan bawah tanah sebelum berjalan.

"Berdasarkan maklumat diterima, suspek adalah seorang penghantar makanan.

"Pasukan polis kemudian menuju ke sebuah alamat di Taman Putra Perdana di Puchong, di mana suspek ditahan dan beberapa bukti dirampas," katanya.

Kamarul Azran berkata suspek didakwa mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan seksual di situ mutakhir ini.

Terdahulu hari ini, dia memaklumkan bahawa polis telah mula memburu lelaki yang disyaki mencabul beberapa perempuan di pusat perniagaan itu semalam.

Menurut laporan polis daripada mangsa, dua insiden cabul berasingan berlaku dalam tempoh 15 minit.

Dalam insiden pertama, kira-kira pada jam dua petang, pelaku dilaporkan berpakaian gelap telah meraba seorang pembantu peribadi berusia 27 tahun ketika dia sedang meletakkan barangnya di dalam kereta, di tempat letak kereta tingkat tiga.

Insiden kedua dilaporkan berlaku pada jam 2.15 petang melibatkan perempuan berusia 34 tahun. Mangsa sedang menunggu lif di TIngkat 2 Blok A Tamarind Square, ketika suspek memeluknya dari belakang dan mencabulnya.

Kamarul Azran berkata polis telah mendapatkan rakaman CCTV daripada premis itu dan mereka yakin dua insiden itu dilakukan oleh orang yang sama.

Polis juga mengesyaki lelaki itu merupakan pelaku serangan serupa di tempat itu pada Disember tahun lalu.

Pihak berkuasa dijangka melaksanakan proses mengesan suspek dan akan memanggil semua mangsa yang terlibat.

 

Lihat Komen
ADS