Pemimpin kumpulan Maoist yang melakukan siri penderaan seksual dan mengurung anak perempuan sendiri serta individu lain termasuk seorang warga Malaysia Siti Aishah Abdul Wahab dalam tahanan selama tiga dekad dilaporkan meninggal dunia di penjara.
Menurut BBC, Aravindan Balakrishnan, 81, lebih dikenali sebagai Komrad Bala, meninggal dunia di Penjara Dartmoor, United Kingdom, Jumaat lalu.
Balakrishnan yang dilahirkan di India dan dibesarkan di Singapura, sebelum ini mempengaruhi pengikutnya supaya meyakininya sebagai seorang yang mempunyai kuasa seperti dewa.
Pada 2016 dia dihukum penjara selama 23 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan antaranya penganiayaan kanak-kanak, pengurungan secara salah dan serangan seksual.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Southwark Crown London, juri mendengar bahawa dalam lebih 30 tahun Balakrishnan juga merogol dua pengikutnya.
Anak perempuannya, Katy Morgan-Davies berkata, pengalaman pahitnya itu mengerikan dan tidak berperikemanusiaan.
Mahkamah mendengar Balakrishnan menubuhkan Institut Pekerja Marxisme-Leninisme-Pemikiran Mao Zedong pada 1970-an di selatan London dan meyakinkan pengikutnya bahawa dia boleh membaca fikiran mereka.
Dia memberi amaran kepada mereka bahawa kuasa ghaib yang dipanggil ‘Jackie’ akan menyebabkan bencana alam jika keinginannya diingkari.
Menggelarkannya sebagai "narsis dan psikopat", anak perempuannya berkata:
"Orang yang diidolakannya adalah orang seperti Stalin, Mao dan Pol Pot dan Saddam Hussein .
"Mereka adalah tuhan dan pahlawannya. Mereka jenis orang yang mahu dicontohinya."
Semasa perbicaraan Davies memberitahu mahkamah dia dipukul dan dilarang menyanyikan lagu taska, pergi ke sekolah atau berkawan.
Sementara itu sebagai rekod, Siti Aishah yang berasal dari Malaysia berusia 24 tahun ketika dia tiba di United Kingdom pada 1967 untuk melanjutkan pengajian dengan biasiswa Komanwel tetapi dirinya terjerat dengan kumpulan itu, dan akhirnya terpisah daripada keluarganya.
Pada 2017, kes itu diadaptasi dalam dokumentari selama sejam, bertajuk The Cult Next Door.
