Bekas MB T'ganu nafi sanggup lepas kerusi pada Khairuddin
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Ahmad Razif Abd Rahman menafikan kenyataan yang tular di Facebook mengatakan dia sanggup melepaskan kerusi kepada Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali.
Menurutnya perkara itu disedari selepas menerima banyak panggilan semalam yang bertanya selepas satu hantaran pengguna Facebook Terengganu Report.
"Kononnya saya sanggup melepaskan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Seberang Takir kepada ahli parlimen Kuala Nerus yang juga bekas ahli PAS, Khairudin Aman Razali pada PRU ke-15 nanti.
"Petikan status tersebut turut disertai gambar kehadiran saya pada sidang media Khairuddin.
"Saya ingin menegaskan bahawa status Facebook tersebut adalah tidak benar, palsu dan merupakan fitnah berat yang dilemparkan kepada saya yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai Adun Seberang Takir," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Tambahnya, kenyataan itu langsung tidak masuk akal, lawak, karut dan memalukan dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Lebih menyedihkan kata Ahmad Razif, apabila fitnah sedemikian disebarkan pada bulan Ramadan yang mulia.
"Apa yang berlaku, saya selaku Adun Seberang Takir hanya sekadar turut hadir pada majlis berbuka puasa meraikan Ramadan bersama ibu tunggal dan masyarakat di parlimen Kuala Nerus anjuran Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
"Majlis tersebut juga turut dihadiri Khairuddin selaku pengerusi PAAB dan tiada sebarang kenyataan pun dikeluarkan oleh saya, apatah lagi sebagaimana yang dilaporkan pengguna Facebook tersebut," jelasnya yang juga bekas menteri besar Terengganu.

