Badan pemantau pilihan raya Bersih mencadangkan pengenalan versi terhad undang-undang antilompat parti yang mengecualikan penyingkiran parti daripada ditakrifkan sebagai lompat parti.

Kata Bersih, cadangan tersebut boleh dibuat melalui pindaan Perkara 10 dan meluluskan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang baru.

“Dengan mengecualikan penyingkiran oleh parti daripada definisi lompat parti, ia sememangnya akan melemahkan kuasa undang-undang antilompat parti kerana wakil rakyat yang berpaling tadah terhadap parti mereka tidak akan meletakkan jawatan tetapi menunggu untuk dipecat bagi mengekalkan kerusi mereka di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Walaupun ini tidak ideal, kompromi, ini tidak dapat dielakkan apabila masyarakat dan kepimpinan politik mahukan undang-undang antilompat parti tetapi tidak bersetuju dengan liputannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara 10 Perlembagaan menyebut mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Menurut salinan RUU yang dikongsi oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen, RUU itu akan memasukkan fasal dalam Perkara 10 yang membenarkan keahlian parti bagi ahli parlimen dan Adun dihadkan oleh undang-undang persekutuan.

Perkataan subfasal itu berbunyi: "(3A) Walau apa pun perenggan (c) Fasal (2) dan Fasal (3), sekatan ke atas hak untuk menubuhkan persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berkaitan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri juga boleh dikenakan oleh undang-undang persekutuan.”

Pengkritik menyatakan RUU itu akan membuka ruang kepada salah guna kuasa dalam membatalkan kelayakan ahli parlimen kerana ia tidak menyasarkan lompat parti secara khusus.

Kerajaan bercadang membentangkan RUU itu selepas rancangan untuk membentangkan undang-undang antilompat parti terhalang semasa mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.

Draf asal rang undang-undang antilompat itu secara automatik akan menghilangkan kelayakan mana-mana ahli parlimen yang bertukar parti atau dipecat daripada parti mereka.

Ia juga melarang ahli parlimen yang menang atas tiket Bebas daripada menyertai parti lain.

Bersih juga menggesa supaya Artikel 49A yang baru diluluskan semasa persidangan Parlimen akan datang untuk memasukkan definisi lompat parti termasuk penyingkiran oleh parti.

Perkara 49 Perlembagaan mengandungi peruntukan bagi menghalang dua keahlian.

Perkataan fasal itu berbunyi: “Seseorang tidak boleh pada masa yang sama menjadi ahli kedua-dua Majlis Parlimen, dan juga tidak boleh dipilih ke Dewan Rakyat untuk mewakili lebih daripada satu bahagian pilihan raya atau ke Dewan Negara untuk mewakili lebih daripada satu Negeri, dan juga tidak boleh menjadi ahli dipilih dan dilantik kedua-duanya sekali bagi Dewan Negara.”

Manakala, cadangan Bersih terhadap Perkara 49A berbunyi: “Tertakluk kepada peruntukan Perkara 49A ini, seorang ahli Dewan Rakyat hendaklah mengosongkan kerusinya jika—

(a) setelah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau berhenti atas apa-apa sebab sekalipun kecuali penyingkiran, menjadi ahli parti itu dalam tempoh pemilihannya yang berkaitan; atau

(b) setelah dipilih selain sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik dalam tempoh pemilihannya yang berkaitan.”

[Baca berita asal]