Pemimpin tertinggi kerajaan mengadakan mesyuarat petang ini dengan ahli parlimen dan senator mereka menjelang pindaan perlembagaan yang dicadangkan di Dewan Rakyat esok, yang bertujuan untuk "membolehkan" undang-undang antilompat parti digubal pada masa depan.

Mesyuarat pada pukul 5 petang itu diadakan di Dewan De' Seri Endon di Putrajaya dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika berita ini ditulis, beberapa pemimpin kerajaan dilihat memasuki bangunan itu termasuk Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee, Menteri Pendidikan,Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang bukan ahli parlimen, turut dilihat memasuki bangunan untuk menghadiri mesyuarat tertutup itu.

Ahli Parlimen Bangi DAP Ong Kian Ming memberitahu Malaysiakini bahawa ahli parlimen pembangkang juga mengadakan taklimat berasingan mengenai pindaan perlembagaan di Putrajaya petang ini.

"Kami telah pun merancang mesyuarat PH plus sebelum taklimat perdana menteri diumumkan,” katanya.

Wakil Pejuang, Muda dan Warisan turut hadir pada taklimat berkenaan bersama ahli parlimen PH.

Ong menambah, beberapa ahli parlimen pembangkang akan menyertai majlis berbuka puasa bersama perdana menteri petang ini.

Kerajaan jemput pembangkang

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Fahmi Fadzil mengakui mereka dijemput oleh kerajaan tetapi memilih untuk mengadakan mesyuarat sendiri terlebih dahulu kerana beberapa isu penting yang memerlukan perbincangan.

“Ya, kami dijemput, tapi kami mengadakan sesi taklimat sendiri kerana terdapat beberapa kemas kini penting dan perbincangan dalaman yang perlu disediakan oleh ahli parlimen kami untuk esok.

"Kami akan menyertai (kerajaan) untuk berbuka puasa," katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, kabinet dilaporkan meminta semakan kepada rang undang-undang antilompat parti, lima hari sebelum sidang khas esok yang diadakan khusus untuk meluluskan undang-undang berkenaan.

Ini selepas berlaku perselisihan pendapat dalam kerajaan, khususnya di kalangan pemimpin Perikatan Nasional.

Draf asal rang undang-undang antilompat itu secara automatik membolehkan pilihan raya kecil diadakan jika ahli parlimen bertukar parti atau dipecat daripada parti mereka.

Ahli Parlimen Bebas juga tidak dibenarkan menyertai mana-mana parti politik. Pengkritik berpendapat langkah itu terlalu keras.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor mengesahkan bahawa rang undang-undang antilompat parti yang dicadangkan tidak akan dibentangkan pada sidang khas parlimen pada Isnin.

Sebaliknya, kerajaan mencadangkan untuk membentangkan pindaan perlembagaan bagi membolehkan undang-undang antilompat parti digubal pada masa depan.

Bagaimanapun, NGO dan pembangkang melahirkan kebimbangan bahawa pindaan perlembagaan yang dicadangkan akan membenarkan kerajaan melakukan lebih daripada sekadar menghalang lompat parti pada masa hadapan.

Menurut salinan RUU pindaan perlembagaan yang dikongsi Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, pindaan akan dibuat terhadap Perkara 10 Perlembagaan berkaitan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Ia akan memasukkan subfasal yang membenarkan keahlian parti bagi ahli parlimen dan wakil rakyat dihadkan oleh undang-undang persekutuan.

Walaupun pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen, pengenalan mana-mana undang-undang yang menggunakan peruntukan perlembagaan hanya memerlukan majoriti mudah.

Peruntukan itu akan memberi laluan kepada penggubalan rang undang-undang antilompat parti tetapi peruntukan itu juga boleh membenarkan penggunaan undang-undang lain untuk menyekat kebebasan berpersatuan.

Mana-mana kerajaan yang ditubuhkan dengan majoriti mudah oleh ahli parlimennya boleh memperkenalkan undang-undang untuk mengenakan sekatan seumpama itu.

Percanggahan pendapat dalam kerajaan mengenai perkataan dalam RUU antilompatparti, serta percanggahan pendapat dalam pembangkang mengenai pindaan perlembagaan, menimbulkan ketidaktentuan bagi sidang Dewan Rakyat esok.

Selepas menghadiri taklimat kerajaan hari ini, Ismail Sabri memberitahu sidang media bahawa ahli parlimen kerajaan menyokong pindaan perlembagaan berkenaan dan berharap ia juga akan mendapat sokongan pembangkang.

Pindaan perlembagaan tersebut, yang memerlukan majoriti dua pertiga, hanya boleh diluluskan dengan sokongan kerajaan dan pembangkang memandangakn kedua-dua belah blok tidak memiliki majoriti besar.