Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Anggota Dewan Rakyat tidak dapat mengundi rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan yang dibentangkan pada mesyuarat khas hari ini.

Sebaliknya, Dewan Rakyat memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang baru bagi memperhalusi RUU yang bertujuan mengelakkan ahli parlimen daripada bertukar parti.

Ini berikutan sesi perbahasan berterusan melibatkan seramai 59 ahli parlimen menyaksikan mereka memberikan pelbagai cadangan mengenai RUU itu.

PSC yang mempunyai 11 anggota akan mempunyai tiga tugas iaitu:

1. Memperhalusi apa yang dimaksudkan dengan menyekat ahli parlimen daripada bertukar parti dan mengkanunkannya dalam Perlembagaan Persekutuan;

2. Mengkaji cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dan pindaan perlembagaan lain yang perlu; dan,

3. Menyediakan kenyataan yang mengandungi cadangan RUU bagi menyekat ahli parlimen daripada bertukar parti.

Seperti jawatankuasa pilihan lain, PSC baru ini boleh menjemput ahli parlimen, pakar undang-undang dan pihak lain yang berminat dalam pendengaran mereka.

Jawatankuasa ini sepatutnya menyelesaikan tugas mereka dalam masa satu bulan, tetapi boleh melanjutkannya sekiranya perlu.

Ahli jawatankuasa tersebut terdiri daripada:

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong, menteri undang-undang)

Azalina Othman Said (BN-Pengerang)

Mohamad Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas)

Hamzah Zainudin (PN-Larut)

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu)

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti)

Gobind Singh Deo (PH-Puchong)

Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang)

Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran)

Saifudin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu)

Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang)

Wan Junaidi memberitahu Dewan Rakyat bahawa cadangan bagi mengadakan PSC untuk meneliti RUU itu dicetuskan semasa mesyuarat antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan wakil Pakatan Harapan. Wan Junaidi turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

Menurut kenyataan majlis presiden PH, Ismail telah menyatakan komitmen untuk memanggil satu lagi sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir Mei ini.

Lihat Komen
ADS