Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPA teliti permohonan doktor kontrak ditolak kerana isu teknikal

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan meneliti isu doktor kontrak yang ditolak untuk diserap ke jawatan tetap selepas membuat permohonan melalui sistem SPA.

Ini selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan "isu teknikal" antara sebab permohonan doktor berkenaan ditolak SPA.

Pengerusi SPA, Zainal Rahim Seman memberitahu Malaysiakini sebab utama permohonan mereka ditolak ialah kerana gagal menyenaraikan butiran Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dalam permohonan mereka.

“Daripada 3,213 yang memohon, melalui SPA, kami hanya lihat 817 yang layak kerana ramai yang tidak mendaftarkan nombor pendaftaran MMC mereka.

“Sistem itu secara automatik membatalkan kelayakan mereka kerana tanpa nombor (pendaftaran) ini, kita tidak dapat pasti sama ada mereka benar-benar doktor atau tidak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa SPA akan menyemak pendaftaran pemohon dengan MMC.

“Jika mereka telah mendaftar, mereka akan didaftarkan secara automatik dalam sistem. Kami akan memudahkan mereka kerana sesetengahnya mungkin sukar untuk membuka sistem semula.

“Saya telah (mengeluarkan arahan) untuk mencetak senarai semua mereka yang telah hilang kelayakan dan menyemak dengan MMC. Kalau ada bilangannya, maka kami akan melayakkan mereka,” katanya yang memaklumkan perkara itu perlu diselesaikan minggu ini.

Zainal Rahim menambah, bagi tahun 2022, hanya 3,586 jawatan disediakan kerajaan untuk jawatan tetap termasuk doktor, ahli farmasi dan doktor gigi.

Bagaimanapun, katanya tahun depan akan menyaksikan lebih 4,000 kekosongan jawatan.

Semalam, presiden MMA Dr Koh Kar Chai mendakwa permohonan doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap telah ditolak tetap sebab munasabah.

Ini menyebabkan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) di MMA mengumpul senarai nama 533 doktor kontrak yang menghadapi masalah serupa.

Borang pengumpulan data ditutup pada Ahad (10 April) jam 5 petang.

“MMA telah mengumpulkan data daripada 533 doktor dan daripada maklum balas yang diterima, beberapa doktor tidak mengisi butiran Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mereka dalam permohonan mereka kerana sebelum ini ia tidak diwajibkan tetapi kemudiannya diwajibkan. Ini telah menyebabkan percanggahan dalam proses permohonan.

“Terdapat juga pilihan terhad untuk dipilih dalam bahagian memilih bidang pengkhususan mereka manakala beberapa doktor mendakwa permohonan mereka mungkin terkesan kerana tidak mengisi markah CGPA,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, syarat CGPA dalam permohonan itu perlu diisi oleh pemohon.

“CGPA merupakan syarat, yang anda tidak boleh lari. Anda sepatutnya tahu CGPA anda.

“Jika anda mengemukakan sijil anda, CGPA secara automatik berada di dalam sijil. [...] Bagaimana kami boleh menilai anda jika anda tiada CGPA?” katanya.

Isu ini pertama kali diketengahkan oleh Hartal Doktor Kontrak di Twitter, yang mendakwa seorang doktor kontrak, yang hilang butiran dalam permohonannya, diberitahu oleh pegawai SPA untuk memohon semula tahun depan.

Koh berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah dimaklumkan mengenai perkara itu Khamis lalu dan telah memberi jaminan isu itu akan diselesaikan.

“Kami juga telah membuat susulan melalui surat kepada Kementerian Kesihatan mencadangkan agar proses permohonan diperbaiki dan dipermudahkan.

"Dalam surat itu, MMA telah menawarkan untuk membantu kerajaan dengan merangka garis panduan untuk proses permohonan," tambah Koh.

Lihat Komen
ADS