Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertembungan selebriti dijangka hangatkan pemilihan PKR

Dua selebriti tempatan dijangka menghangatkan lagi pemilihan parti PKR yang akan datang, khususnya di cabang Ampang.

Menurut sumber dalam PKR, pelakon Hans Isaac dan penyanyi rap Altimet telah mendaftar untuk bertanding jawatan ketua cabang Ampang, kerusi yang pernah disandang oleh Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sebelum dia berpaling tadah daripada PKR dan menyertai Bersatu.

Hans (atas) dan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, dijangka berdepan enam yang lain, termasuk penyandang ketua cabang Mohd Kamri Kamaruddin.

Berdasarkan senarai calon untuk kerusi yang dilihat Malaysiakini, lima lagi yang telah dicalonkan untuk jawatan itu ialah Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, Abdul Halim Mohamed Yusof, Daing Muhammad Reduan Bachok dan Abdul Latif Shaari.

Senarai itu belum muktamad, kerana tempoh penamaan calon pemilihan PKR hanya dijadualkan berakhir tengah malam ini (12 Mac).

Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini dispekulasikan akan bertanding di kawasan parlimen Ampang pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan penghibur Afdlin Shauki.

Malaysiakini telah menghantar permintaan kepada pembantu Hans dan Altimet untuk mendapatkan ulasan mengenai pencalonan dan cita-cita politik mereka.

Zuraida memenangi jawatan ketua cabang PKR Ampang tanpa bertanding dalam pemilihan parti 2018. Dia juga memenangi jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan yang sama.

Bagaimanapun, Zuraida meninggalkan PKR pada 2020, selepas dia dan beberapa ahli politik lain mengambil bahagian dalam rampasan kuasa politik yang digelar 'Langkah Sheraton'. Ini membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

PKR Ampang kemudian dilanda satu lagi kontroversi apabila lebih 200 ahli mengumumkankeluar parti dan mengikuti Zuraida untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Ini akan menjadi pemilihan parti pertama PKR sejak 'Langkah Sheraton'.

Lebih 1.2 juta ahli parti layak mengundi secara dalam talian atau fizikal pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung dari 13 Mei hingga 18 Mei ini.

Lihat Komen
ADS