Rafizi Ramli menggesa calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PKR nanti, khususnya Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan pesaingnya bagi jawatan timbalan presiden, untuk menjelaskan pendirian berkenaan hala tuju parti dan strategi serta gerak kerja bagi berdepan PRU akan datang.

Rafizi berkata dua perkara itu perlu dijadikan kayu ukur untuk anggota parti membuat pilihan nanti.

"Sudah sampai masanya untuk calon-calon lain, iaitu saingan saya Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi yang lain, memberi penjelasan mengenai pendirian mereka berkenaan dua perkara ini," katanya dalam kenyataan.

Rafizi berkata bagi hala tuju parti, dia berpandangan PKR perlu kembali ke strategi asal yang memberi kemenangan kepada mereka, iaitu dengan "meyakini rakyat",

"Kita mesti yakin apabila kita mengangkat suara rakyat, rakyat akan menghormati kita. Oleh itu, saya menolak sebarang usaha untuk mencari jalan singkat (sama ada melalui kerjasama politik, rundingan atau jajaran baru, di bawah apa-apa nama seperti 'khemah besar') dengan mana-mana pihak yang boleh melunturkan idealisme PKR.

"(Berkenaan strategi gerak kerja, saya menggesa PKR untuk kembali kepada gerak kerja serampang dua mata sebelum ini. Kita perlu agresif melawan rasuah dan kelemahan pentadbiran dan perlu kreatif mengupas masalah masyarakat dan membentangkan penyelesaian alternatif untuk meyakinkan rakyat bahawa kita boleh mentadbir dengan lebih cekap, jujur dan berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekurang-kurangnya Rafizi sudah dilihat berbeza dengan Saifuddin berhubung hala tuju parti.

Ketika mengumumkan pencalonannya, Saifuddin berkata lanskap politik pada masa ini - di mana tiada lagi dominasi tunggal satu parti - memerlukan kemahiran dalam diplomasi politik.

Saifuddin juga berkata PH terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak dalam menghadapi PRU akan datang.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengumumkan pasukannya bagi jawatan tertinggi yang lain.

Bagi naib presiden, calon pasukannya adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Aminddin Haron, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.

Calon ketua Wanita pula adalah Rodziah Ismail (kini ketua Wanita PKR Selangor) dan bekas aktivis mahasiswa Fahmi Zainol bagi kedudukan ketua Pemuda.

Rafizi berkata Nurul Izzah tidak akan bertanding dalam pemilihan kali ini kerana akan memberi tumpuan kepada kempen Ayuh Malaysia bagi memenangi sokongan pengundi atas pagar.

Tiada kempen bersandar ‘wahyu’

Rafizi menyifatkan pemilihan kali sebagai pungutan suara di kalangan anggota biasa PKR sama ada mereka menyokong langkah merundingkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain atau tidak.

"Pemilihan kali ini sewajarnya tidak dicemarkan dengan emosi, serangan peribadi atau kempen bersandarkan 'wahyu'.

“Saya sedar ada calon yang mengatakan kononnya mereka pilihan presiden dan memberi gambaran jika tidak mengundi mereka, itu tidak setia kepada 'institusi presiden'.

“Kempen sebegini wajar dihentikan serta-merta. Hak untuk memilih pemimpin adalah hak individu setiap anggota.

“Pencapaian seorang calon seharusnya didasarkan semata-mata kepada rekod pendiriannya yang sehaluan dengan perjuangan parti, serta kemampuan calon itu menggerakkan kempen dan gerak kerja untuk melonjakkan kedudukan parti," katanya lagi.

Pemilihan PKR akan berlangsung bulan depan dengan lebih sejuta anggota akan memilih untuk enam jawatan tertinggi. Sejumlah 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat akan dipilih 2,664 perwakilan.

Anwar Ibrahim telah menang jawatan presiden tanpa bertanding.