PKR tidak letak calon di Batu Talam
Parti Keadilan Rakyat tidak akan meletakkan calon dalam Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam dan sebaliknya akan memberi sokongan sepenuhnya kepada PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.
Pengerusi perhubungan PKR Pahang, Zakaria Abdul Hamid berkata, jentera PKR peringkat bahagian dan negeri akan memulakan gerakerja pilihanraya sebaik selesai penamaan calon pada 16 Januari 2007.
Menurutnya, penumpuan khusus di kawasan pengundi bukan Melayu dan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, PKR Pahang menyeru semua pengundi di DUN Batu Talam supaya mengundi calon PAS demi membela nasib rakyat Pahang yang dihimpit masalah kekurangan infranstruktur, kenaikan harga barang dan gejala sosial.
Penamaan calon
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil bagi kawasan Batu Talam pada 16 Januari ini.
Jika berlaku pertandingan, hari pengundian telah ditetapkan pada 28 Januari.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu akibat barah usus.
Dalam pilihanraya umum 2004, BN menewaskan calon PAS Dr Muhammad Nilam Abdul Manap dengan kelebihan 2,761 undi. Terdapat 10,886 pengundi berdaftar pada masa itu.