'Terlalu ramai bertanding' - Adun Chuah tarik diri rebut naib presiden PKR
Adun Chuah Michael Yek Diew Ching mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan PKR akan datang.
Yek mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini dan berkata dia membuat keputusan itu kerana "terlalu ramai bertanding" bagi jawatan itu.
"Terlalu sesak. Ramai yang bertanding bagi empat jawatan naib presiden.
"Jadi, saya tarik diri," katanya ketika dihubungi.
Sehingga semalam sebanyak 17 sah bertanding untuk bertanding jawatan naib presiden.
Antaranya, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Calon lain adalah penyandang naib presiden Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fuziah Salleh, Setiausaha Organisasi Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas pengerusi Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Turut bertanding adalah bekas timbalan pengerusi PKR Perak MA Tinagaran, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani, Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, timbalan ketua penerangan G Manivanan, Adun Sentosa G Gunaraj, Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, Naib Ketua Pemuda S Thiban dan Adun Bukit Selambau Dr R Summugam.
"Selain sebab terlalu ramai, saya juga mengambil keputusan menarik diri atas sikap perpaduan.
"Pemilihan parti ini untuk menguatkan semula parti dan membawa perpaduan," kata Yek lagi.
Pemilihan PKR akan berlangsung bulan depan dengan lebih sejuta anggota akan memilih untuk enam jawatan tertinggi. Sejumlah 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat akan dipilih 2,664 perwakilan.
Ia merupakan pemilihanpertama selepas penjajaran semula parti politik melalui 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan sejumlah pemimpin PKR sama ada dipecat atau keluar parti.

