Antilompat parti: Sidang khas seterusnya dicadangkan pada 7 Jun
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri mencadangkan 7 Jun ini untuk sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan undang-undang berkaitan lompat parti.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi berkata, tarikh tersebut memerlukan persetujuan jawatankuasa pilihan khas yang baru dibentuk dan kabinet.
Di bawah perintah tetap, penetapan tarikh mesyuarat khas Dewan Rakyat adalah prerogatif perdana menteri.
Tarikh mesyuarat khas baru itu mengambil kira masa yang diperlukan oleh jawatankuasa pilihan khas untuk meneliti RUU dan undang-undang yang berkaitan.
"Jadual yang dicadangkan telah disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang. Sekiranya jawatankuasa pilihan khas bersetuju, jadual itu akan menjadi panduan.
“Jadual itu juga akan dibentangkan dalam kabinet,” tambahnya.
RUU ditangguhkan
RUU lompat parti sepatutnya dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada 21 Mac lalu.
Bagaimanapun, kabinet menangguhkannya ke mesyuarat khas Dewan Rakyat pada 11 April.
Namun pada 6 April lalu, kabinet memutuskan perubahan terhadap RUU tersebut.
Susulan itu, PH turut menukar pendirian mereka dan kini kedua-dua pihak bersetuju memutuskan RUU terbabit perlu diteliti oleh jawatankuasa pilihan khas terlebih dahulu.
PH turut memaklumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan komitmen untuk memanggil satu lagi sidang khas Dewan Rakyat sebelum hujung Mei ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang mungkin mencadangkan mesyuarat khas pada awal Jun selepas mengambil kira perayaan hari menuai di Sabah dan Sarawak pada penghujung Mei.
Wan Junaidi turut mengesahkan jawatankuasa pilihan khas akan mengadakan mesyuarat sulungnya pada 15 April ini.
Sahkan terima notis
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan turut mengesahkan menerima notis daripada setiausaha Dewan Rakyat untuk menghadiri mesyuarat itu.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail berkata Wan Junaidi, yang mempengerusikan jawatankuasa pilihan khas berkenaan, sebelum ini menyatakan akan ada empat atau lima mesyuarat.
“Saya mencadangkan supaya kita berjumpa dengan Jabatan Peguam Negara dahulu supaya mereka boleh membentangkan draf rang undang-undang itu.
"Kami tidak bermula dari awal. Jika ini dilakukan, mungkin kami boleh menyelesaikannya dalam dua atau tiga mesyuarat," tambahnya.

