PAS hari ini melahirkan keyakinan bahawa perjanjian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang akan membantu pemulihan negara daripada wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya percaya perjanjian itu akan membantu dalam semua aspek - kesihatan, ekonomi, masyarakat dan kebajikan.

Dia juga menyatakan bahawa perjanjian itu terpakai sehingga Parlimen dibubarkan, seperti yang dinyatakan dalam fasal 2.1 Memorandum Persefahaman mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) yang ditandatangani pada 13 September.

Perjanjian itu adalah perjanjian keyakinan-dan-perbekalan dengan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 90 Ahli Parlimen ketika ini, berjanji untuk tidak menjatuhkan Ismail Sabri dan menyokong semua rang undang-undang kewangannya.

Kenyataan PAS itu susulan keputusan yang dibuat oleh majlis tertinggi Umno malam tadi menyatakan bahawa perjanjian itu akan berakhir pada 31 Julai, sambil turut menamakan Ismail Sabri sebagai calon Umno untuk perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang.

MOU itu tidak menyatakan bahawa perjanjian itu akan tamat pada 31 Julai. Sebaliknya, fasal 3.1 menyatakan bahawa kerajaan berikrar untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai.

Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS turut mengalu-alukan keputusan Umno mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi PRU ke-15.

Pada masa ini, PAS dan Umno berada dalam gabungan politik yang berbeza dan telah berhadapan antara satu sama lain semasa pilihan raya negeri Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Pada masa ini PAS menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri. PAS berharap agenda perpaduan yang diusahakan (Ismail Sabri) diteruskan kerana ia terbukti berjaya memastikan kestabilan politik dan iklim politik yang sihat.

“Pendekatan ini pastinya akan disokong oleh semua atas semangat bipartisan demi kebaikan negara,” kata Takiyuddin.