Tiada kecederaan ditemui pada lelaki mati di lokap Kajang
Hasil bedah siasat Hospital Kajang mendapati lelaki yang mati di lokap Kajang pada Rabu tidak mengalami kecederaan.
Bedah siasat dijalankan pada 14 April, kata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman.
Bagaimanapun, punca kematian masih belum diketahui dan sampel telah diambil untuk analisis dan pemeriksaan makmal secara lanjut, kata pengarah Jips Azri Ahmad.
Ia merupakan kematian ke-15 dalam tahanan bagi tahun ini. Lelaki itu juga negatif Covid-19.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan reman di lokap berpusat Kajang kerana kesalahan dadah.
Semalam, Azri berkata pegawai lokap menghubungi hospital kerana percaya tahanan itu mengalami sawan.
Dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Kes itu diklasifikasikan sebagai "mati mengejut" manakala siasatan untuk punca kematian diteruskan dan penemuan akan diserahkan kepada koroner, tambah Azri.
Minggu lalu, polis mengisytiharkan tiada sebarang perbuatan khianat dalam kematian seorang tahanan di Pahang pada 9 April lalu.
Dia didapati meninggal dunia akibat Covid-19 dan komplikasi berkaitan batuk kering, kata polis.
Bagaimanapun, NGO Menghapuskan Kematian Dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama (Edict) berkata adalah terlalu awal untuk polis membuat kesimpulan sedemikian, sebelum inkues diadakan oleh koroner.

