Seorang wanita membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam selepas mendakwa dipecat daripada PKR tanpa pengetahuannya, sekali gus menafikan peluangnya untuk bertanding dalam pemilihan parti itu.

Wanita berkenaan yang pernah mendakwa menjadi menjadi mangsa gangguan seksual Ahli Parlimen Sungai Siput, A Kesavan tahun lalu percaya terdapat komplot jahat pihak tertentu untuk menghalangnya bertanding jawatan ketua cabang berkenaan.

"Saya mengesyaki ini adalah satu komplot yang dilakukan untuk menghalang saya daripada bertanding sebagai Ketua Cabang Sungai Siput.

"Oleh yang demikian saya merayu kepada pihak ROS untuk menyiasat aduan yang diberikan oleh saya.

"Saya juga membantah proses pencalonan dan pemilihan ketua cabang Sungai Siput yang telah dibuat dengan cara tidak adil dan muslihat yang menidakkan peluang saya untuk bertanding," katanya yang membuat laporan di ibu pejabat ROS di Putrajaya semalam.

Kesavan merupakan penyandang ketua cabang PKR Sungai Siput dan menang tanpa bertanding pada pemilihan PKR kali ini.

Selain wanita itu, seorang lagi individu, A Vethamoorthy pada Ahad lalu mendakwa tidak dapat mengemukakan pencalonan bagi bertanding jawatan ketua cabang berkenaan selepas diberitahu bukan lagi ahli PKR.

Malaysiakini tidak dapat menyiarkan nama wanita itu kerana kes gangguan seksual melibatkannya masih dalam siasatan polis dan saman sivil juga sedang berlangsung di mahkamah.

Mengulas lanjut, wanita itu berkata dia juga tidak diberikan sebarang surat tunjuk sebab berhubung pemecatannnya daripada PKR.

Malah dia mendakwa sebab-sebab yang diberikan sebagai alasan untuk melucutkan keanggotaannya tidak terkandung di bahagian III perlembagaan PKR.

"Saya berasa amat tidak puas hati dan dukacita dengan cara pelucutan keanggotaan ditangani oleh Ketua Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang tidak mematuhi Fasa 9 perlembagaan parti.

"Saya juga tidak dipanggil oleh Biro Disiplin parti untuk membela diri serta diberi peluang untuk merayu sekiranya didapati bersalah," tambahnya.