Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memanggil sidang khas parlimen selama beberapa hari bagi membahaskan projek kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Anwar menggesa agar Perdana Menteri memberi penjelasan berhubung beberapa projek nasional yang perinciannya tidak dijelaskan kepada rakyat.

"Jika dahulu 1MDB, kini MRT, DNB, MySejahtera dan Sapura, semua isu ini perlu segera dijelaskan kerajaan kepada rakyat.

“Perkara ini ternyata membimbangkan dan saya desak supaya diberi perhatian segera sebelum ia kian parah dan semakin berterusan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

DNB atau Digital National Berhad ialah syarikat kenderaan tujuan khas kerajaan yang bertanggungjawab memacu pembangunan infrastruktur 5G di negara ini.

Rangkaian borong tunggalnya menjadi pertikaian utama dan berdepan masalah dengan penyertaan yang tidak memberansangkan daripada syarikat telekomunikasi.

Sementara itu, MySejahtera terpalit dalam kontroversi mengenai pemilikan data selepas kerajaan mengadakan perbincangan dengan firma swasta untuk menguruskan aplikasi itu.

Manakala Sapura Energy yang dikuasai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) milik kerajaan pula kini berdepan dengan masalah kewangan.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PH sebagai alat untuk berselindung daripada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Jangan izinkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terus berleluasa," katanya lagi.