Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 120.5 kilogram (kg) dadah dan menahan tujuh suspek pada 15 dan 16 April lalu menerusi enam serbuan yang dilakukan di sekitar Kelantan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kelantan membabitkan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM5.1 juta.

Kejayaan itu katanya sekali gus melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di Kelantan.

"Enam serbuan dilancarkan di sekitar negeri Kelantan dan berjaya menahan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran syabu, pil yana dan ubat batuk bagi pasaran tempatan.

"Modus operandi digunakan sindiket ini adalah menyeludup masuk bekalan dadah melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan.

"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak bulan Disember tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 April bagi membantu siasatan.

Menurutnya antara dadah yang dirampas pada serbuan terbabit terdiri daripada jenis syabu seberat 101.5 kg, pil yaba (19 kg) dan ubat batuk sebanyak empat liter dengan anggaran nilai RM4.6 juta.

"Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 602,540 orang penagih dadah.

"Suspek terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita, manakala seorang suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu tambahnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket bernilai RM538,943.

"Hasil operasi ini JSJN berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di Kelantan untuk pasaran tempatan," kata Ayob Khan.