Anwar: Rashid akui kepincangan dalam undang-undang praya
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan pengakuan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengenai hakikat kepincangan undang-undang pilihanraya negara dan perlunya ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji proses pilihanraya tersebut.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan pengakuan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengenai hakikat kepincangan undang-undang pilihanraya negara dan perlunya ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji proses pilihanraya tersebut.
"Secara tidak langsung, ini merupakan pengakuan kelemahan yang serius, salahlaku yang jelas dan pengingkaran nyata terhadap prinsip-prinsip demokrasi.
"Saya menyeru kesedaran Pengerusi SPR untuk tidak terus digunakan sebagai boneka oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulas kenyataan Abdul Rashid bahawa undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan.
Pengerusi SPR itu juga mencadangkan agar sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihanraya serta penstrukturan semula SPR.
Sebelum ini, kata Anwar, pihaknya telah menyeru pengerusi SPR itu supaya meletak jawatan kerana "menganggapnya lemah dan khianat terhadap amanahnya, kerana proses pilihanraya yang pincang telah melemahkan demokrasi di Malaysia".
Perlu reformasi
"Sekiranya inilah bagaimana pilihanraya dijalankan sebagaimana diakui oleh pengerusi SPR, apa rasionalnya meneruskan pilihanraya diadakan tanpa sebarang reformasi," kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam satu kenyataan hari ini.
"Pengerusi SPR mestilah mengatasi masalah ini, dan kini menjadi tanggungjawab beliau dan SPR untuk memastikan pilihanraya yang bebas dan adil dijalankan di negara ini," tambahnya.
Media hari ini melaporkan Abdul Rashid sebagai berkata, selain memberi lebih
kuasa kepada SPR, kajian semula itu juga bertujuan menjadikan proses pilihanraya lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
Katanya, undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan keadaan sosial yang telah berubah.
Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata, walaupun kajian semula itu menyentuh perundangan dan peraturan pilihanraya, kuasa pembubaran Parlimen yang dimiliki kerajaan akan terus dikekalkan.
"Itu masih kekal pada bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong. Sistem itu dikekalkan. Kita hanya perlu meminda beberapa undang-undang," kata Abdul Rashid.

