PM: Kjaan boleh bertindak jika dokumen konsesi tol bawah OSA
Kerajaan boleh bertindak sekiranya salinan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya yang didakwa dimiliki oleh sebuah parti pembangkang, dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kerajaan boleh bertindak sekiranya salinan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya yang didakwa dimiliki oleh sebuah parti pembangkang, dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Khamis lalu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chia mendakwa perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Litrak, berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.
Tian berkata, ia berdasarkan kepada dokumen yang didakwa perjanjian setebal 200 muka surat ditandatangani pada 23 April 1996, antara Kerajaan dengan Litrak.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.
Tian dilaporkan mendakwa, berdasarkan dokumen itu, kerajaan tidak mempunyai banyak kuasa dalam perjanjian tersebut, sedangkan syarikat konsesi boleh meneruskan kutipan tol, tidak kira berapa banyak kutipan yang telah dibuat.
Abdullah juga berkata keputusan kerajaan membenarkan kadar tol dinaikkan baru-baru ini dibuat berdasarkan pembentangan oleh syarikat konsesi mengenai kutipan tol mereka.
Bilangan pengguna
"Apa yang mereka buktikan kepada kita, kepada kerajaan, ialah tol perlu dinaikkan," katanya.
Ditanya sama ada jumlah tol yang dikutip itu perlu dimaklumkan kepada umum, beliau berkata : "Kesemuanya syarikat berhad awam."
Abdullah berkata, setahu beliau, sewaktu rundingan dibuat, syarikat konsesi membuat unjuran tentang bilangan trafik yang bakal menggunakan jalan bertol itu pada tahun-tahun akan datang.
"Semua ini dibuat pada masa itu dan apa yang berlaku pada hari ini kita kena ambil kiralah. Kita tak boleh menafikan. Dan kalau pada hari ini situasinya memerlukan kita ambil tindakan meningkatkan (kadar) tol, maka kita kenalah (berbuat demikian).
"Kalau tidak, kita nak kena beri subsidi lagi. Banyak mana nak subsidise, semua nak subsidise belaka ini, macam mana," kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar selepas melakukan pecah tanah bagi pembinaan Institut Kanser Negara berdekatan Hospital Putrajaya.
Tol di lima lebuhraya di sekitar Lembah Klang dinaikkan antara 20 peratus dan 60 peratus atau 30 sen dan RM1 berkuatkuasa 1 Januari.
Lebuh raya berkenaan ialah Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya KL-Karak dan Lebuh Raya Koridor Guthrie.
Abdullah berkata, jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bukannya sedikit, dan kerajaan tidak boleh terus-menerus membayar subsidi hanya semata-mata untuk mengelak kenaikan kadar tol.
Ditanya mengenai calon Barisan Nasional bagi pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam, Abdullah yang juga Pengerusi BN, berkata parti itu mahukan seorang individu yang boleh berkhidmat untuk rakyat.
Beliau berkata apabila senarai calon BN disampaikan kepadanya, perkara itu akan dirundingkan dengan Badan Perhubungan Umno Pahang sebelum nama calon BN diumumkan.

