Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi janji 'pulangkan' wang menang saman NFC kepada umum
Diterbitkan:  Apr 21, 2022 1:50 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berikrar untuk 'mengembalikan' wang wang yang diperolehinya susulan menang kes saman National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) kepada orang awam.

Mengumumkan hal itu melalui media sosial, Rafizi berkata, hari ini dia sekali lagi memenangi kes saman yang difailkan NFC ke atasnya.

"Hari ini, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berpihak kepada saya dalam saman fitnah NFC.

"Saya telah mendedahkan skandal NFC pada tahun 2011 yang membawa tiga kes undang-undang terhadap saya. Saya menang kesemua kes.

"Jumlah (wang) yang dianugerahkan kepada saya akan dikembalikan kepada orang ramai sebagai biasiswa dan bantuan kecil," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu Rafizi disaman oleh NFC dan pengerusinya Mohamad Salleh Ismail berhubung dakwaan entiti tersebut menyalahgunakan dana kerajaan.

Dalam penghakiman hari ini, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata Rafizi berjaya membangkitkan pembelaan yang adil sekali gus mengetepikan saman berkenaan.

Sehubungan itu panel hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara membatalkan rayuan NFC dan Salleh terhadap penolakan saman fitnah mereka terhadap Rafizi.

Bernama melaporkan mahkamah berpendapat Rafizi - setelah percaya dengan jujur bahawa dakwaannya benar - menjalankan tugas untuk mendesak ketelusan dalam penggunaan dana awam.

Rafizi yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh turut dianugerahkam ganti rugi kos RM70,000. NFC dan Salleh pula diwakili peguam Shafee Abdullah.

Untuk rekod pada 2016 NFC dan Mohamad Salleh turut menyaman Malaysiakini kerana melaporkan kenyataan Rafizi.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman ke atas Malaysiakini tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan, juga mengarahkan NFC dan Mohamad Salleh membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS