Polis tahan 10 warga tempatan disyaki terlibat sindiket jual kad ATM
Polis menahan 10 individu warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam sindiket menjual kad ATM bagi tujuan penipuan secara dalam talian dalam beberapa serbuan sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Daerah Serdang A Anbalagan berkata tangkapan dibuat dari 14 April hingga 21 April hasil risikan diperolehi dari pemilik akuan bank yang telah menyerahkan kad ATM kepada sindiket itu,
"Tangkapan dibuat sekitar Puchong, Gombak dan Kuala Lumpur. Dalam serbuan pihak polis berjaya merampas telefon bimbit, kad ATM, kad sim MYTPG (Singapura), wang tunai berjumlah RM3,957 serta sebuah kereta.
"Lima suspek mengaku bertindak sebagai pengutip kad ATM dari pemilik akaun dan sebagai (runner) kad ATM yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar kad ATM kepada sindiket.
"Manakala, lima suspek yang lain adalah pemilik kad ATM yang dirampas semasa serbuan," katanya.
Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati lima individu yang ditangkap pernah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah dan penipuan.
Menjelaskan modus operandi sindiket itu, Anbalagan berkata mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan membeli dan menjual kad ATM sekitar Kuala Lumpur dan Selangor semenjak awal tahun 2021.
"Mereka memperolehi kad ATM ini dari pengedar (dealer) dengan harga RM1,500 hingga RM1,800. Kemudian, sindiket ini dipercayai menjual kepada sindiket yang menjalankan penipuan dengan harga RM2,500 bagi setiap keping.
"Pemilik kad disyaki menjual kad kerana terpedaya iklan pinjaman wang dalam laman sosial. Mereka menyerahkan kad ATM sebagai cagaran. Selain itu, mereka juga menjual kad ATM kepada sindiket ini untuk memperolehi wang antara RM500 hingga RM800.
"Ada juga dikalangan mangsa yang menjual kad ATM mereka tidak tahu kad merek akan digunakan bagi tujuan penipuan," katanya.
Katanya, sepanjang 2020 dan 2021, sebanyak 56 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan di Serdang, melibatkan kerugian RM845,955.96.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

