Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam telah mengelirukan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak dengan mengemukakan cadangan balas mengenai penjualan saham tanpa pengetahuan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dan menteri negeri yang bertanggungjawab terhadap lembaga tersebut, demikian mahkamah diberitahu semalam.

Bekas pengurus besar LKTNS Datuk Mohd Tahir Jaafar, 56, berkata Kasitah telah menunjukkan kepada beliau satu salinan surat bertarikh 2 Januari 1996, nota daripada Salleh, yang bersetuju secara prinsipnya mengenai cadangan Kasitah untuk menjual 16 peratus daripada 40 peratus saham LKTNS dalam Sapi Plantations kepada dua syarikat bumiputra.

"Saya terperanjat dengan surat itu kerana semua perkara berkaitan LKTNS mestilah melalui menteri itu dan pada masa itu Datuk Seri Joseph Kurup yang menjaga LKTNS di mana dalam kes ini, Kasitah telah melangkaui beliau dan lembaga LKTNS," katanya.

Menurut laporan Bernama, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Hanafiah Zakaria, Mohd Tahir memberitahu mahkamah bahawa Kasitah, dalam surat itu, juga telah menyatakan beliau tidak dapat membangkitkan cadangannya itu kepada lembaga LKTNS kerana lembaga itu menghadapi masalah yang sama dalam memanggil mesyuarat penuh lembaga.

"Itu bukan benar semuanya kerana Kasitah sebagai pengerusi lembaga tidak pernah merujuk kita mengenai perkara itu atau mengarahkan saya memanggil mesyuarat penuh lembaga untuk mebincangkan cadangan beliau," kata beliau.

Beliau memberikan keterangan pada perbicaraan Kasitah yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi LKTNS untuk kepentingan kewangan dengan mengambil bahagian meluluskan cadangan menjual 16.8 juta saham yang dipegang lembaga tersebut dalam Sapi Plantations Sdn Bhd kepada Brismark Enterprise Sdn Bhd.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan kedua dengan menipu lembaga LKTNS dengan tidak mengumumkan kepada mereka tawaran PBB Oil Palms untuk memperuntukkan lima saham kepada syarikat itu untuk setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan PPB Oil Palms untuk disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (Bursa Malaysia).

Cadangan penggabungan

Kasitah, 60, didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Forum di Fairlane Hotel di sini pada 22 Oktober 1996.

Mohd Tahir memberitahu mahkamah bahawa surat itu kepada Ketua Menteri, Kasitah juga menyatakan bahawa penjualan saham tersebut adalah sebahagian daripada cadangan Arthur Andersen, firma perunding yang diambil LKTNS untuk mengkaji cadangan penggabungan Perlis Plantations Berhad dan penyenaraian dalam KLSE.

"Firma perunding itu tidak pernah membuat cadangan seperti itu kepada LKTNS seperti yang didakwa Kasitah," kata beliau.

Ditanya oleh Hanafiah sama ada menteri yang menjaga Joseph Kurup tidak ada antara 2 Januari dan 1 Mac 1996 yang mana Kasitah mendakwa dalam surat beliau memaksanya meminta kebenaran ketua menteri, Mohd Tahir berkata, ia tidak benar.

"Saya telah berjumpa sekali dengan ketua menteri dalam tempoh itu dan tindakan Kasitah jelas menunjukkan pengerusi LKTNS tidak mematuhi prosedur biasa di mana beliau sepatutnya menghantar surat itu kepada Joseph Kurup," kata beliau.

Pengawalan kerajaan

Mohd Tahir menambah beliau membangkitkan isu cadangan balas Kasitah kepada perhatian lembaga LKTNS dan kemudian memberitahu lembaga itu bahawa beliau telah mengesyaki sesetengah kakitangan lembaga telah membantu Kasitah dalam menyediakan cadangannya.

Mengenai cadangan Arthur Anderson berkaitan cadangan penggabungan dan penyeneraian di KLSE, Mohd Tahir berkata firma perunding itu telah menulis kepada beliau bahawa cadangan penggabungan itu dan penjualan saham tidak menguntungkan LKTNS dan kerajaan negeri.

Beliau berkata firma itu mencadangkan bahawa faedah ekuiti menggabungkan LKTNS dalam Sapi Plantation Sdn Bhd dan Datu Edible Oils Sdn Bhd (LDEO) ke dalam SLDB Berhad akan memberikan lebih faedah kepada kerajaan negeri untuk digabungkan ke dalam Sawit Asia Berhad (SAB).

Mohd Tahir berkata firma perunding itu telah juga mencadangkan bahawa langkah itu akan mengekalkan keyakinan pengeluar minyak sawit di negeri ini di samping mengelakkan tanggapan bahawa sebarang langkah penswastaan mungkin mengurangkan peranan pengawalan kerajaan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Suraya Othman bersambung Rabu.