Seramai 11,282 anggota parti PKR telah disahkan menjadi calon untuk bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan parti yang ditetapkan pada Mei ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata senarai akhir itu dimuktamadkan selepas proses bantahan dan rayuan serta penarikan diri di seluruh negara yang berakhir 20 April lalu.

"Sebanyak 11,290 telah membuat pencalonan mereka yang kemudiannya melalui proses bantahan dan rayuan. Bantahan terhadap calon hanya diterima bagi sekitar lapan orang sahaja atas sebab-sebab yang jelas seperti status kebankrapan dan senarai hitam yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Tahniah buat 11,282 calon yang melepasi saringan ini dan layak menyertai senarai akhir pencalonan termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi," katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata bahawa seramai 96,983 orang telah berjaya memuat turun aplikasi ADIL dan mengemas kini maklumat diri dan kemudiannya memilih untuk menjadi Pengundi Atas Talian (PAT).

"Menariknya, seramai lebih 700 anggota yang kini menetap di luar negara termasuk di Australia, Brunei, Singapura dan lain-lain juga tersenarai sebagai PAT.

"Meskipun permohonan baru telah pun ditutup, kerja-kerja akan diteruskan sehingga kesemua yang memohon untuk menjadi PAT selesai ditentusahkan," katanya.

Tambahnya, JPP sedang dalam persediaan menghadapi fasa pengundian secara fizikal dan dalam talian yang dijadualkan berlangsung dari 13hb Mei 2022 hingga 22hb Mei 2022.