Polis tangkap suspek ganggu, gigit pelajar wanita warga asing
Polis telah menahan lelaki kedua yang disyaki menyerang seorang pelajar warga asing.
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata suspek berusia 34 tahun itu ditahan di projek perumahan rakyat (PPR) Taman Beringin, Jinjang Utara di Kepong pada 11.20 pagi hari ini.
Katanya, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau mengaku memukul wanita itu menggunakan kayu.
Dia juga mengaku mengganggunya, dan dia telah menyerang wanita itu selepas dia mula merakam kelakuannya dengan telefon bimbit.
Polis semalam menahan rakan suspek, lelaki berusia 32 tahun, juga di Jinjang Utara. Lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Mangsa berada bersama rakannya di luar Galeri Beli-belah Publika di Kuala Lumpur pada 21 April lalu apabila dua lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan mengganggu mereka.
Pelajar berusia 23 tahun itu kemudian menggunakan telefon bimbit untuk merakam kejadian itu.
Kedua-dua lelaki itu kemudian menghampiri pasangan itu dan suspek cuba merampas telefon bimbit mangsa sebelum berlaku pergelutan.
Pelajar itu mendakwa dia digigit di lengan dan dipukul di belakang badan dengan kayu.
Mangsa dan rakannya melarikan diri ke sekolah berhampiran sebelum pengawal keselamatan membuka pintu pagar untuk mereka berlindung.
Kedua-dua suspek kemudian beredar.
Beh berkata polis turut merampas motosikal yang digunakan dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 393 dan 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan cubaan melakukan samun.

