Polis hari ini menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau keberadaan anak di bawah umur dan tidak membiarkan mereka menunggang motosikal atau terlibat dalam lumba haram.
Peringatan itu dibuat selepas tiga remaja berusia antara 15 dan 16 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Pasir Gudang, Johor malam tadi.
Polis daerah Seri Alam percaya mangsa berlumba sesama sendiri ketika nahas berlaku kira-kira 10.30 malam di sebatang jalan di Taman Kota Masai.
“Mangsa dipercayai berlumba sesama sendiri apabila motosikal mereka bergeser satu sama lain.
“Kemalangan itu menyebabkan tiga daripada mangsa tercampak ke kiri jalan manakala seorang lagi tercampak ke kanan jalan,” kata ketua polis daerah Mohd Sohaimi Ishak, seperti dipetik New Straits Times.
Kejadian itu turut menyaksikan seorang lagi remaja berusia 17 tahun cedera.
Seorang daripada mangsa berusia 16 tahun yang maut dikenali sebagai Mohd Adam Danish.
Ibunya, Lily Nor Illyana, 40, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang bertanggungjawab dan menafikan bahawa dia adalah "Mat Rempit".
Tambahnya, anaknya dalam perjalanan ke rumah kawannya di Taman Kota Masai. Seorang rakan yang dikenali sebagai "Khairul" adalah pembonceng.
"Tidak disangka Mohd Adam Danish dan Khairul menjadi mangsa apabila motosikal dinaiki dirempuh motosikal lain dipercayai ditunggang remaja yang terbabit dalam lumba haram.
"Saya terkejut menerima panggilan berkaitan kejadian dan tidak menjangka anak saya dan Khairul meninggal dunia.
"Mereka adalah sahabat baik dan kedua-duanya tiada kaitan dengan kumpulan remaja yang terbabit lumba haram," katanya, seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Sohaimi, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
