Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Paraglider maut lepas rempuh pokok di Kuala Kubu Bharu
Diterbitkan:  Apr 23, 2022 10:21 PM
Dikemaskini: 2:21 PM

Seorang paraglider maut selepas payung terjun yang dikendalikannya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok setinggi 12.19 meter di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu di Selangor hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata mangsa Mohammad Farhad Khalid, 44, dari Subang Jaya dekat Kuala Lumpur, juga tersangkut di atas pokok yang dirempuhnya serta mengalami pendarahan teruk dan patah kaki dalam kejadian berkenaan.

"Pihak JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.56 petang tadi dan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi dan tiba enam minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norazam, beberapa Orang Asli yang berada di lokasi kejadian telah terlebih dahulu memanjat pokok berkenaan dan mengikat mangsa menggunakan tali daripada payung terjun bagi mengelakkan lelaki itu daripada terjatuh.

Katanya, bomba mengambil masa selama dua jam untuk menurunkan mangsa berikutan ketinggian dan lokasi pokok berkenaan.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS