Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan bekas ketua polis negara Musa Hassan bersedia untuk proses mediasi pada 13 Mei bagi penyelesaian saman fitnah wakil rakyat itu terhadap Musa.

Tindakan sivil bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berhubung ucapan bekas ketua polis titu pada 2020, yang dikatakan mengandungi dakwaan berkaitan pergolakan etnik pada 13 Mei 1969.

Pada 29 Okt tahun lepas, Yeoh dan Musa bersetuju untuk mencuba mediasi bagi menyelesaikan saman fitnah itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Lim Wei Jiet dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengesahkan bahawa tarikh 13 Mei (bulan depan) telah ditetapkan untuk mediasi dalam talian antara plaintif dan defendan.

Lim bertindak bagi pihak ahli parlimen DAP manakala Khairul Azam mewakili bekas ketua polis itu.

Sementara itu, Khairul Azam berkata, mediasi sebelum ini ditangguhkan kerana Yeoh sibuk dengan pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac ini.

Untuk rekod, mediasi merupakan proses alternatif undang-undang tanpa melalui proses perbicaraan penuh di mahkamah dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman.

Saman sivil itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mei.

Yeoh memfailkan saman fitnah itu pada 3 Julai tahun lepas, susulan ucapan Musa dalam sebuah forum bertajuk "Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” yang dianjurkan Institut Raja-Raja Melayu UiTM.

Musa dilaporkan disiasat oleh polis berhubung ucapan itu pada 5 Feb tahun lepas.

Dalam ucapannya, Musa antara lain mengatakan DAP telah menerbitkan sebuah buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik peristiwa rusuhan 13 Mei.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman yang dilihat Malaysiakini, Yeoh mendakwa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang "sama sekali tidak benar; merendahkan, menyusahkan, palsu, salah dan tanpa asas."

[Baca berita asal]