Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nagaenthran ke tali gantung esok, rayuan terakhir ditolak
Diterbitkan:  Apr 26, 2022 5:48 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Mahkamah Rayuan Singapura telah menolak rayuan terakhir banduan hukuman mati Nagaenthran K Dharmalingam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati, sebelum tarikh pelaksanaan yang dijadualkan esok.

Peguam Nagaenthran, N Surendran, mengumumkan keputusan rayuan melalui Twitter yang difailkan oleh ibu lelaki berusia 33 tahun itu, Panchalai Supermaniam, semalam.

"Rayuan terakhir Nagaenthran telah ditolak.

"Rayuan ibunya untuk dibenarkan melantik peguam tidak diendahkan oleh mahkamah," kata Surendran.

"Keputusan dibuat tanpa mendengar dari pihak Nagaen sama sekali - penghinaan yang nyata dan biadab terhadap kedaulatan undang-undang. Nazi juga buat seperti ini," ciapnya.

Ketua Penyelaras Lawyers for Liberty, Zaid Malek semalam berkata Panchalai secara peribadi memfailkan cabaran undang-undang itu dengan bantuan beberapa rakan dan aktivis selepas tidak dapat mendapatkan khidmat peguam di Singapura.

Surendran semalam mendakwa berlaku konflik kepentingan melibatkan Ketua Hakim Negara Singapura, Sundaresh Menon yang mengetuai perbicaraan itu dan menolak rayuan Nagaenthran.

Nagaenthran adalah warga Malaysia yang cacat mental berusia 33 tahun. Dia dijatuhkan hukumanmati atas kesalahan mengedar dadah di Singapura.

Dia telah menunggu hukuman dilaksanakan sejak lebih sedekad setelah didapati bersalah mengedar kira-kira 42.7g heroin ke Singapura, yang mempunyai undang-undang narkotik antara yang paling keras di dunia.

Peguamnya berkata dia mengalami kecacatan intelek dengan IQnya yang lebih rendah daripada purata iaitu 69.

Nagaenthran dijadual digantung pada 10 Nov tahun lalu tetapi diberi penangguhan hukuman mati pada 8 Nov selepas peguam Singapura M Ravi memfailkan cabaran perlembagaan pada minit-minit terakhir.

Walaupun Mahkamah Tinggi Singapura menolak cabaran itu, ia membenarkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu sepatutnya didengar pada Nov tetapi ditangguhkan ke Mac tahun ini apabila Nagaentran disahkan positif Covid-19 pada 9 Nov 2021.

Bagaimanapun, rayuannya sekali lagi ditolak pada 29 Mac tahun ini.

Lihat Komen
ADS