Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengumumkan harga ayam daging di seluruh negara turun antara 80 sen dan RM1.06 sekilogram (kg) berkuatkuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata, penurunan harga ayam itu berdasarkan kepada faktor permintaan dan bekalan semasa.

Mulai hari ini harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati, dan hempedal, turun sebanyak RM1.05 iaitu RM5.65kg berbanding RM6.70kg sebelum ini.

Menurut laporan Bernama, harga ayam siang serta kaki, kepala, hati dan hempedal pula, turun sebanyak 95 sen sekilogram kepada RM5.05 berbanding RM6kg sebelum ini.

Harga runcit ayam hidup pula turun sebanyak 80 sen daripada RM5 kepada RM4.20 sekilogram manakala harga ayam siang di peringkat borong turun 95 sen sekilogram iaitu dari RM5.40 kepada RM4.45 sekilogram.

Harga borong ayam hidup pula turun 80 sen sekilo daripada RM4.50 sekilogram kepada RM3.70 manakala harga di peringkat ladang turun 80 sen sekilogram daripada RM4 kepada RM3.20.