Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fatwa ganja perubatan: Mufti tiada masalah muzakarah

Tiada masalah untuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bermuzakarah mengenai isu ganja perubatan, kata beberapa mufti negeri.

Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman berkata ini kerana Islam tidak melarang atau menyekat sebarang perbincangan yang membawa ke arah kebaikan kepada umatnya.

"Kita tak melarang (sebarang muzakarah), sebab Islam ini terbuka dan tidak menyekat mana-mana (pihak untuk bermuzakarah).

"Kalau sesuatu yang memberi manfaat, tidak merosakkan, selamat dan halal ia boleh dibincangkan dan digunakan. Tetapi, apa yang pasti perkara ini kena dibincangkan terlebih dahulu," katanya kepada Malaysiakini.

Abdul Rahman berkata demikian mengulas gesaan Exco Perladangan dan Komoditi Pahang, Sharkar Shamsudin supaya Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bermuzakarah mengenai isu ganja dan ketum perubatan.

Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman.

19 April lalu, Sharkar ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihak jawatankuasa fatwa kebangsaan perlu bermuzakarah supaya fatwa penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan perubatan dapat dirumuskan.

Katanya, walaupun ada sisi negatif tetapi isu terbabit memerlukan penilaian sudut positif dari segi perubatan itu.

Sharkar juga mengambil maklum setakat ini, cuma Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor yang memberikan pendapat bahawa penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.

Sharkar (gambar, bawah) yang turut memegang potfolio pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan rasmi Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 12 April lalu.

Menurut kenyataan kaukus ahli parlimen rentas parti itu, Ismail Sabri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah memberikan maklum balas positif terhadap cadangan mereka dan akan membawa perkara itu dalam mesyuarat kabinet.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata secara umumnya isu ganja perubatan tersebut boleh dibincangkan Jawatankuasa Majlis Fatwa sekiranya ia boleh memberi manfaat kepada semua pihak.

"Kita juga tiada masalah sekiranya ada kebaikan di situ," katanya.

Menurut Abdul Rahman, dari segi perubatannya jika dalam kaedah fiqah semuanya harus atau boleh digunakan.

Minta taklimat pakar kesihatan

"Kecuali ada dalil-dalil yang mengharamkannya. Semua perkara-perkara yang ada di dunia ini boleh digunakan kecuali macam babi misalnya, yang ada dalil mengatakan ia tidak boleh.

"Selain daripada itu, yang tidak disebut maknanya dia boleh digunakan untuk tujuan kebaikan manusia.

"Macam dadah, dia tidak ada sebut tetapi kalau dia memabukkan, boleh merosakkan kesihatan itu tak dibenarkan.

"Maknanya, sekiranya ada dari segi perubatan dia tidak termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan, dia boleh dimanfaatkan untuk perubatan," katanya.

Jelas Abdul Rahman, pihaknya juga akan berpandukan kajian, penyelidikan dan pandangan pakar kesihatan dalam merumuskan fatwa.

"Macam vaksin, kita tak tahu sejauh mana dia halal ke haram. Tapi kita minta (taklimat) kepakaran-kepakaran daripada pakar kesihatan, pakar kimia dan mana-mana pihak dan merekalah yang akan memberikan kita maklumat-maklumat yang lebih jelas dan sekiranya jawatankuasa fatwa itu melihat dia tidak bercanggah dengan syarak, halal, selamat maka ia boleh digunakan," kata Abdul Rahman.

Jelas Abdul Rahman lagi, asas fatwa hukum menggunakan ganja perubatan perlu berpandukan muzakarah ulama dan mufti.

"Kita bukan nak mendahulukan mana-mana. Macam vaksin, mana kita tahu (halal, haramnya) tetapi kita nak gunakan untuk tujuan perubatan dan sebab itulah kita membincangkan perkara asas itu.

"Iaitu, pertama halal dan keduanya sama ada dia boleh merosakkan kesihatan atau pun tidak. Jadi, kajian itu harus bersamalah dan biasanya bersama antara pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pihak Majlis Fatwa dan pihak-pihak yang terlibat.

"Kemudian bila ia dah jelas dari segi hukum syaraknya barulah boleh (difatwakan).

"Kita di Malaysia ini hal-hal berkaitan dengan fatwa ini dibuat secara berkumpulan bukan berseorangan," tambahnya.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamed (gambar, atas) turut sama mengalu-alukan perbincangan mengenai isu ganja perubatan.

Menurutnya, dengan muzakarah majlis fatwa kebangsaan maka perkara tersebut dapat dibincangkan dari segenap sudut.

"Elok juga ia dibincangkan dan kita juga boleh bermuzakarah berhubung perkara itu jika ada cadangan untuk dibawa ke muzakarah dan ianya baguslah. Saya sedia membincangkannya.

"Kita boleh bincangkannya dari segenap sudut, kadang-kadang kita membuat pandangan ini bukan saja dari sudut hukum semata-mata tetapi kita juga perlu lihat kepada realiti itu juga dalam menghukum.

"Kita tengok banyak sudutlah dan kalau bincang secara beramai-ramai itu banyak yang boleh kita nampak, sudut-sudut lain yang kita boleh nampak," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Mohamad Shukri, biasanya mereka akan melihat kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang dibincangkan.

"Kalau banyak kebaikan, ada pandangan dia. Tapi, jika lebih banyak buruknya, biasanya kita akan menolaklah," jelasnya.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar, atas) berkata isu ganja perubatan sememangnya tiada masalah untuk dibincangkan.

"Hukum asal bagi sesuatu yang wujud dalam alam ini adalah harus, iaitu boleh dimakan atau digunakan melainkan jika terdapat dalil yang mengharamkannya.

"Pengharaman sesuatu bahan itu kadang-kala atas bahan itu sendiri seperti khinzir, kadang-kala pula atas sifat bahan seperti arak kerana memabukkan. Jika hilang sifat mabuk seperti apabila bertukar menjadi cuka, maka sudah tidak haram lagi.

"Maka, terdapat bahan-bahan yang haram kerana kesannya. Anggur halal boleh dimakan. Tapi apabila ia bertukar menjadi arak yang mabuk maka arak itu yang haram, bukan anggur yang asal.

"Demikian tanaman yang mungkin boleh dibuat bahan mabuk atau khayal, asalnya adalah harus selagi tidak menjelma atau dijelmakan menjadi bahan yang memberikan mudarat kepada manusia.

"Pun begitu, pihak pemerintah ada hak melarang bahan yang asalnya harus tapi jika dibiarkan akan menjadi bahan yang tidak terkawal yang membawa bahaya kepada masyarakat. Itu ijtihad pemerintah,” katanya.

Menurut Asri, persoalannya kini sejauh mana kemampuan kerajaan dalam mengawal penggunaan tumbuhan itu hanya bagi tujuan perubatan.

"Tumbuhan itu tak haram. Penggunaan yang salah itu yang haram. Jika dapat dikawal supaya digunakan untuk yang tidak haram, maka itu tidak menjadi masalah. Soalannya, mampukah kerajaan mengawal jika dibenarkan? soalnya.

"Jika mampu, maka ahli-ahli fatwa mustahil akan kata tumbuhan itu haram. Hal ini, soal keupayaan sesuatu pemerintahan," tegasnya.

Malaysiakini dalam usaha mendapatkan maklum balas dari Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff dan Menteri Agama Idris Ahmad berhubung gesaan terbabit.

Penyalahgunaan ganja dikawal ketat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan mengedar 200 gram bahan itu boleh dikenakan hukuman mati. Sementara itu, tumbuhan ketum pula dikawal bawah Akta Racun Negara 1952.

Pun begitu, Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengklasifikasikan semula ganja sebagai "dadah yang kurang berbahaya" dan mengeluarkannya daripada senarai dadah yang boleh membunuh dan mewujudkan ketagihan.

Sidang yang ke-63 di Austria, pada 2 Disember 2020 bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

"(Sebanyak) 53 negara anggota CND memilih untuk membuang ganja (daripada jadual itu) yang selama 59 tahun dikawal secara ketat, bahkan sampai ke tahap tidak menggalakkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan," kata Suruhanjaya Dadah Narkotik PBB itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Narkotik Thailand pada 25 Jan lalu berkata ia akan mengeluarkan ganja daripada senarai dadah, membuka jalan kepada orang ramai untuk menanam tumbuhan itu di rumah bagi kegunaan sendiri.

Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menghalalkan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan.

Lihat Komen
ADS