Kanak-kanak 'alami PTSD' lepas dihalang naiki penerbangan ke M'sia
Seorang wanita mendakwa anaknya yang berusia lima tahun mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) selepas kedua-dua mereka nyaris dipisahkan menjelang penerbangan dari Taiwan ke Malaysia.
Menurut Dr Yap Chng Yung sebelum ini dia membuat keputusan untuk kembali ke negara ini agar dapat berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pegawai perubatan pergigian.
Bagaimanapun, kata Yap, anaknya itu - yang dilahirkan di Taiwan - dilarang menaiki pesawat udara bersamanya kerana kanak-kanak terbabit bukan warganegara Malaysia.
Kata Yap, dia sudah membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatan buat kanak-kanak terbabit sejak anaknya itu berusia empat bulan.
Untuk rekod, Yap cuba pulang ke negara ini bersama anak perempuannya itu pada Sept 2020. Ketika itu individu bukan warganegara Malaysia tidak dibenarkan masuk tanpa pas perjalanan khas yang dikuatkuasakan ekoran kekangan Covid-19.
"Selepas insiden itu dia mengalami PTSD, dan bimbang ditinggalkan. Setiap kali ibunya tidak ada bersama, dia gelisah dan mula menangis," kata Yap menerusi satu klip video yang dibuat naik di Twitter oleh kumpulan Family Frontiers.
Disebabkan larangan yang dikenakan di lapangan terbang Taiwan itu, kata Yap, dia membatalkan hasratnya untuk kembali ke Malaysia sehinggalah pas kebenaran dikeluarkan buat anaknya pada akhir Feb tahun lalu.
Pasangan anak-beranak itu tiba di Malaysia pada 21 Mac lalu.
"Hanya enam bulan selepas selamat pulang ke Malaysia, PTSD anak saya hilang beransur-ansur," katanya.
Doktor gigi itu berkata dia memilih pulang ke Malaysia untuk berkhidmat di KKM pada kemuncak wabak Covid-19 melanda itu kerana dia percaya kemahirannya akan berguna di negara ini.
“Saya sayang negara dan rakyat negara saya.
“Saya melepaskan tawaran kerja bergaji tinggi di Taiwan dan mahu kembali ke Malaysia untuk berkhidmat kepada negara sebagai barisan hadapan KKM, untuk memerangi wabak dengan pengalaman dan kepakaran saya,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Yap, niatnya bertukar menjadi duka apabila dia terpaksa hidup dengan ketakutan anak perempuannya yang berpotensi diusir kerana tidak memiliki kewarganegaraan Malaysia.

