Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengucapkan tahniah kepada Mohd Rizal Mohamad @ Anan yang telah berjaya membuktikan kepada seluruh mahasiswa Malaysia bahawa kebebasan sememangnya sesuatu yang sewajarnya dimiliki oleh setiap masyarakat, termasuk mahasiswa.

Timbalan Ketua Penerangannya, Amirudin Shari berkata, Mohamad Rizal adalah mahasiswa yang telah dikenakan tindakan oleh pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana bertanya soalan kepada Astora Jabat dalam satu forum di Masjid Universiti tersebut pada tahun 2000.

"Semalam di Mahkamah Tinggi Alor Star, beliau bersetuju menerima pampasan RM70 ribu dari UUM walaupun terpaksa menunggu sehingga lebih enam tahun untuk membuktikan hak bersuara yang telah terjamin dalam perkara 10 perlembagaan negara.

"Kami melihat nilai RM 70 ribu yang diterima oleh saudara Rizal bukanlah harga sebenar mempertahankan kebebasan yang diperjuangkan olehnya, tetapi sebagai lambang mahal dan pentingnya kebebasan supaya jangan dirampas dan dirompak," kata Amiruddin dalam satu kenyataan.

Tegasnya, keputusan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengalah dengan membayar sejumlah tersebut, seharusnya dijadikan pengajaran kepada pengendali universiti-universiti lain yang merelakan diri menjadi alat penghalang kebabasan dengan mengugut mahasiswa dengan undang-undang dan Aku Janji.

"Perkara tersebut seharusnya dijadikan panduan kepada universiti lain, agar menghormati kebebasan bersuara dan bukan membayar harga kebebasan sebagaiman yang dilakukan oleh UUM," katanya...