Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai parti pembangkang PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggariskan lima kepincangan yang mendorong pimpinannya untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam di Raub pada 28 Januari ini.

BBA juga mendakwa proses pembersihan daftar pemilih bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam tidak dijalan secara telus dan dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil dalam pilihanraya.

Berikut adalah kenyataan penuh pimpinan BA yang ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail:

Pilihanraya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalsm sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihanraya adalah mekanisme asas untk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.

Kebebasan ini memberi ruang kepada pengundi untuk menunaikan hak asasi mereka dalam proses politik bagi menentukan calon-calon mereka dalam memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

Berpandukan kepada pengalaman pahit dalam beberapa pilihanraya yang lalu dan khasnya Pilihanraya Umum ke-11, sesungguhnya kami menyakini bahawa pilihanraya yang telah dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan yang sekaligus menjejaskan kredibilit dan maruah kerajaan yang memerintah.

Serentak dengan itu, rakyat seemakin resah dan bosan dengan ketempangan dan kecurangan proses demorasi ini, yang kita lihat adalah jauh dari memberikan keadilan dan persaingan serta pertandingan di padang yang sama rata.

Kami senaraikan antara kepincangan dan ketempangan yang berlaku:

1. Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.

2. Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.

3. Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat sebelah.

4. Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.

5. Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.

6. Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.

Berlatarbelakangkan kesemua fakta yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihanraya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demorasi.

Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan.

Proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil dalam pilihanraya.

Segala kecurigaan kami telah disahkan melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan "undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah berusia 50 tahun ini tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah".

Dengan ini, kami pimpinan BA, menegaskan pendirian untuk menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi DUN 06 Batu Talam.