DAP Negeri Sembilan cabar Lim letak jawatan Adun
Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook hari ini mempersoalkan motif dan agenda sebenar mengapa baru sekarang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi Bahau, Lim Fui Ming, mahu meninggalkan parti pembangkang itu.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook hari ini mempersoalkan motif dan agenda sebenar mengapa baru sekarang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi Bahau, Lim Fui Ming, mahu meninggalkan parti pembangkang itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Loke yang juga Adun Lobak berkata, DAP negeri mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi untuk membincangkan isu Lim, yang turut dihadiri Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Setiausaha Kebangsaan DAP,Tan Kok Wai.
"Lim mendakwa beliau meninggal parti ini kerana merasakan ahli-ahli parti telah meminggirkannya sejak dia menyertai DAP selepas keluar daripada MCA pada 1988. Katanya, dia tidak mendapat sokongan daripada parti.
"Beliau seterusnya mendakwa dipinggirkan dan ditekan oleh parti sejak 18 tahun yang lalu sehingga beliau cukup terseksa dan kini mengambil keputusan untuk keluar dari parti ini," kata Loke dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, persoalan pertama yang muncul di fikiran beliau ialah sekiranya Lim benar-benar terseksa berada dalam DAP selama ini, maka mengapa beliau tidak keluar dari parti itu lebih awal ketika belum manjadi wakil rakyat.
Katanya, mengapa Lim yang naib pengerusi DAP negeri itu, memilih untuk berbuat demikian sekarang ketika dia menjadi wakil rakyat dan menyedari sepenuhnya mengenai implikasi negatifnya terhadap parti memandangkan pilihanraya umum semakin hampir.
Motif sebenar
"Tidakkah ini sudah cukup untuk menimbulkan kecurigaan terhadap motif dan agenda sebenar beliau meninggalkan DAP sekarang?" soal Loke lagi.
Katanya, Lim juga mendakwa, sebagai seorang wakil rakyat, beliau tidak mendapat undi yang tinggi dalam pemilihan DAP negeri dalam dua persidangan parti itu yang lalu.
"Saya ingin tegaskan di sini, sebagai sebuah parti demokratik, DAP tidak boleh menjamin secara automatik mana-mana wakil rakyatnya akan mendapatkan undi terbanyak dalam pemilihan parti," katanya.
Loke juga menafikan bahawa Lim mendapat undi ketiga terbawah dalam pemilihan 2004 dan kedua terbawah dalam pemilihan 2006 bagi jawatan anggota jawatankuasa DAP negeri.
"Hakikat sebenarnya adalah beliau mendapat 79 daripada 97 undi dalam 2004 dan meletakkannya di tempat kesebelas daripada 23 calon yang bertanding. Dalam pemilihan parti, 15 calon dengan undi tertinggi dipilih menganggotai jawatankuasa tersebut. Itu menunjukkan (Lim mendapat) 81.4 peratus sokongan.
"Dalam konvensyen DAP negeri 2006, beliau mendapat 93 daripada 126 undi dan berada di tempat kesembilan antara 29 calon. Ini merupakan 74 peratus sokongan! Adakah amana-mana ahli politik yang tidak akan puashati dengan sokongan lebih 70 peratus?" soalnya.
'Korban politik'
Loke mendakwa, Lim telah mengelirukan umum apabila mendakwa pemilihannya menganggotai jawatankuasa tersebut adalah kerana beliau berketurunan Cina.
DAP, tegasnya, tidak pernah mengamalkan pertimbangan berkauman seperti itu dalam pemilihan anggota dari kalangan kaum Cina dan bukan Cina untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.
Loke juga menolak dakwaan Lim bahawa beliau telah dijadikan "korban politik" apabila diletakkan bertanding kerusi DUN Bahau dalam pilihanraya umum 2004.
"Adalah tidak adil bagi Lim membuat dakwaan seumpama itu selepas beliau memenangi kerusi tersebut. Hakikat sebenarnya, sebelum pilihanraya itupun, Bahau memang dianggap kerusi yang mampu dimenangi oleh DAP kerana pelbagai isu-isu tempatan yang membabitkan masyarakat Cina di situ di samping Adun MCA yang tidak popular ketika itu," tambah Loke.
Tegasnya, Lim dipilih kerana pihak parti merasakan beliau calon yang sesuai memandangkan beliau pernah bertanding di situ sebelum tahun 1995 serta beliau berasal dari Bahau walaupun kini menetap di Seremban.
"Sebenarnya, pihak parti menawarkan kepadanya sama ada mahu bertanding kerusi Bahau atau kerusi Parlimen Seremban. Beliau memilih kerusi Bahau kerana merasakan peluang untuk menang lebih cerah," tambahnya.
Gandingan muda dan lama
Menurut Loke lagi, walaupun Lim tidak aktif dalam parti itu beberapa tahun sebelum menjelang pilihanraya umum, namun beliau masih diberi peluang oleh pihak parti yang mahu menggandingkan muka baru dan muka lama bagi menguatkan lagi kedudukan parti.
"Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali bahawa tiada orang lain yang berani bertanding di Bahau kerana DAP pernah dua kali menang di Bahau dalam pilihanraya umum 1986 dan 1990. Beliau patut berterima kasih kepada parti kerana membolehkannya menjadi Yang Berhormat.
"Walaupun kita tidak menjangka Lim akan berterima kasih kepada parti, tetapi setidak-tidaknya pun beliau harus bersikap jujur dengan memberitahu kedudukan sebenarnya kepada rakyat," kata Loke lagi.
Sehubungan itu, beliau mencabar Lim supaya meletak jawatan sebagai Adun Bahau kerana beliau memenangi kerusi itu atas tiket DAP.
"Jika beliau mahu keluar dari parti, maka beliau perlu turut melepaskan juga jawatannya sebagai wakil rakyat.. Beliau mesti meletakkan segera jawatan Adun bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan jika beliau seorang yang berprinsip," katanya.
Lagi pula, katanya, Lim mendakwa, beliau menang kerusi itu bukan kerana menjadi calon DAP tetapi kerana personaliti beliau sendiri.
"Jika begitu, seharusnya beliau menyambut cabaran supaya meletakkan jawatan Adun dan bertanding dalam pilihanraya kecil sebagai calon bebas bagi menyerahkan kepada pengundi di Bahau untuk memutuskannya," katanya.
'Bahau kawasan DAP'
Loke juga berkata, DAP negeri akan menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan di Bahau serta mengaktifkan semula semua cawangan DAP dalam kawasan tersebut kerana "kita masih menganggap Bahau adalah kawasan yang diwakili oleh DAP".
"Jawatankuasa DAP negeri juga akan menubuhkan jawatankuasa kecil untuk menyelia kerja-kerja di kawasan pilihanraya Bahau dan berikrar akan terus berkhidmat dan berjuang untuk pengundi Bahau. Kami akan mempertahankan kerusi Bahau dalam pilihanraya umum akan datang dan menjadikannya kubu kuat DAP," katanya.
Loke juga mengingatkan Barisan Nasional, terutamanya MCA supaya jangan berangan-angan untuk melihatkan berulangnya episod 1996 di mana dua Adun DAP ketika itu, melompat menyertai MCA sehingga mewujudkan 'pembangkang sifar' di Negeri Sembilan.
"Saya pasti akan mengecewakan mereka. Saya berikrar akan terus berjuang walaupun saya kini merupakan Adun tunggal DAP dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan sehinggalah pilihanraya umum akan datang, dan menyedari laluan yang sukar yang sedang menunggu," katanya.
Loke juga memperjelaskan, Guan Eng tidak pergi ke Bahau semalam untuk cuba memujuk Lim menarik balik keputusannya meninggapkan parti itu.
"Beliau hanya berkata yang beliau akan cuba memahami daripada Lim mengapa beliau keluar dari parti itu," katanya.
Usaha malaysiakini untuk menghubungi Lim untuk mendapatkan komennya tidak berjaya.

