Badan Peguam Malaysia menuntut Jabatan Peguam Negara menjelaskan mengapa pertuduhan terhadap pegawai tertinggi Serba Dinamik Bhd ditarik balik.

Dalam satu kenyataan, Badan Peguam Malaysia bimbang kurangnya ketelusan dalam hal itu akan memberi kesan ke atas integriti tadbir urus dan kawal selia pasaran modal.

“Justeru, Badan Peguam Malaysia memohon AGC membuat pendedahan penuh dan terus terang atas sebab, jika ada, kerana mengeluarkan kompaun kepada Serba Dinamik dan individu yang dituduh dan bukannya meneruskan pendakwaan.

"AGC harus terlibat dalam proses rundingan dengan pengawal selia untuk memastikan penalti yang wajar dikuatkuasakan.

"Benarlah kata pepatah lama - 'Keadilan bukan saja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan'," kata Mohamad Ezri Abdul Wahab, naib presiden Badan Peguam Malaysia.

Mohamad Ezri berkata walaupun Badan Peguam Malaysia peka mengenai kuasa yang diberikan kepada peguam negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan cara yang akan memperkukuhkan kedaulatan undang-undang.

"Dengan hormatnya, AGC harus mengelak daripada membuat keputusan yang mengetepikan syor yang dibuat oleh pengawal selia - dalam kes ini, SC - kerana ini berpotensi menghakis fungsi serta persepsi awam yang diberikan kepada pengawal selia," katanya.

Pada 28 Dis tahun lepas, Suruhanjaya Sekuriti (SC) memfailkan pertuduhan terhadap pengarah eksekutif Serba Dinamik, Syed Nazim Syed Faisal; ketua pegawai kewangan kumpulan itu, Azhan Azmi; naib presiden akaun dan kewangan, Muhammad Hafiz Othman dan pengarah bebas bukan eksekutif, Abu Bakar Uzir.

Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Mohd Abdul Karim Abdullah didakwa tanpa kehadiran (in absentia).

Mereka didakwa bertanggungjawab terhadap kenyataan palsu yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan Serba Dinamik mengenai keputusan yang disatukan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

Di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta.

Bagaimanapun, pada 13 April, pertuduhan ditarik balik selepas pendakwa raya menerima representasi yang dibuat kepada Jabatan Peguam Negara. Surat perwakilan biasanya dihantar untuk mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan.

Sebaliknya, Abdul Karim, Syed Nazim, Azhan dan Muhammad Hafiz masing-masing didenda RM3 juta. Muhammad Hafiz didenda RM1 juta lagi kerana memalsukan akaun anak syarikat Serba Dinamik.