Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ong Kian Ming umum tak tanding PRU15, rehat dari politik
Diterbitkan:  May 9, 2022 8:21 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Ong Kian Ming mengumumkan untuk tidak menawarkan diri sebagai calon untuk dan dan berehat daripada politik di barisan hadapan.

Dalam kenyataan hari ini, Ong mengakui keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada MAC lalu - di mana dia gagal terpilih - menjadi faktor kepada keputusan itu tetapi menjelaskan ia bukanlah sebab utama.

"Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaan.

"Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara," katanya.

Justeru, katanya lagi, kini tiba masanya untuk memberi ruang kepada generasi muda dalam parti untuk mengambil alih kepimpinan.

Ong juga menyuarakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anthony Loke selaku setiasaha agung baru DAP dan menggesa semua pimpinan dan ahli parti itu memberikan sokongan penuh kepadanya.

‘Pengalaman yang mengubah hidup’

Ong pertama kali menjadi ahli parlimen selepas menang di Serdang pada 2013 sebelum bertukar ke Bangi pada 2018.

Dia juga menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika pentadbiran PH.

Dia menyifatkan peluang untuk berkhidmat kepada para penduduk di Bangi dan Serdang sebagai penghormatan yang besar untuknya, dan menyifatkan tempoh sembilan tahun sebagai ahli parlimen memberikan pengalaman yang mengubah kehidupannya.

"Saya berpeluang berkenalan dan berhubung dengan individu yang datang daripada pelbagai latar belakang, etnik, dan kewarganegaraan di tempat-tempat yang berbeza di seluruh negara.

"Saya juga telah terlibat dalam pelbagai projek dan bergerak ke tempat-tempat di seluruh negara yang saya mungkin tidak akan lawati sekiranya bukan kerana tugas sebagai ahli parlimen dan timbalan menteri," katanya.

Ong menyuarakan penghargaan kepada anggota parti, sukarelawan dan pengundi yang memberi kepercayaan kepadanya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang menurutnya sebagai orang yang bertanggungjawab membawanya ke DAP dan menyokong agar dia diberi peluang sebagai calon.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana keyakinannya terhadap saya dan kemudiannya menamakan saya sebagai calon DAP untuk kerusi parlimen Serdang pada tahun 2013 dan kerusi parlimen Bangi pada tahun 2018."

Berkenaan Lim Kit Siang, Ong berkata tokoh veteran DAP itu telah membuktikan yang ahli politik boleh meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan peribadi.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan-rakan parlimen saya yang menzahirkan penghargaan mereka untuk khidmat saya kepada parti, dan juga kepada mereka yang cuba memujuk saya untuk mengubah keputusan untuk tidak bertanding dalam PRU15," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS