Pemimpin DAP mendakwa ia aktiviti pembalakan haram tetapi jabatan perhutanan pula berkata pokok-pokok di kawasan Hutan Rekreasi Sungai Batang ditebang kerana ia membahayakan keselamatan pengunjung. Siapakah yang bercakap benar?

DAP Johor mendakwa parti itu mempunyai bukti-bukti mengenai aktiviti pembalakan haram yang dijalankan dengan kerjasama pegawai dari Jabatan Perhutanan Daerah Segamat.

Ekoran laporan dari penduduk yang tinggal di sekitar Bengkok, Labis, Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau serta pemimpin parti tersebut, telah meninjau Hutan Rekreasi Sungai Batang Ahad lalu. Mereka mendakwa, kerja-kerja pembalakan dijalan di kawasan berhampiran dan di tebing Sungai Batang.

Menurut Dr Boo, kira-kira 100-150 pokok ditebang oleh para pekerja seorang kontraktor tempatan dengan diselia oleh pegawai jabatan perhutanan. Beliau mendakwa, trak dan jentera pengorek digunakan untuk menggali pokok dan dibawa ke jalan utama.

Menurutnya, pekerja balak dan pegawai jabatan berkenaan meninggalkan kawasan tersebut selepas pemimpin DAP bersemuka dengan mereka. Bagaimanapun, sebelum beredar, mereka menunjukkan kebenaran bertulis daripada pejabat hutan daerah untuk membersihkan kawasan tersebut.

Surat tersebut ditandatangani oleh Pegawai Perhutanan Daerah, Azmer Mohamad, yang menyatakan kontraktor berkenaan dibenarkan menebang dan membersihkan kira-kira 15 pokok akasia di kawasan letak kereta di situ yang membahayakan pengunjungnya.

Kes terpencil

Bagaimanapun, Dr Boo mendakwa, mereka bukan setakat menebang pokok akasia sahaja. Beliau turut menghantar foto mengenai sebatang pokok meranti yang turut ditebang (foto). Pokok meranti seberat enam hingga tujuh tan boleh dijual dengan harga RM1,000 setan, katanya.

Foto tambahan yang diambil kemudiannya menunjukkan pekerja balak dan para pegawai terbabit meneruskan aktiviti mereka, walaupun pada sebelah malam. DAP kemudiannya membuat laporan polis di balai polis Bekok.

Ketika dihubungi malaysiakini, Azmer enggan mengulas mengenainya. Pengarah Perhutanan Negeri, Abdul Rahman Abdul Rahim tidak dapat dihubungi untuk mendpatkan komennya.

Bagaimanapun, seorang pegawai perhutanan mengaku, memang berlaku pembalakan haram di hutan Johor, tetapi menegaskan ia hanya kes terpencil sahaja.

Dalam kes Hutan Rekreasi Sungai Bantang, kata pegawai tersebut, kerja-kerja penebangan itu dijalankan dengan kebenaran demi keselamatan pengunjungnya.

"Jika kita tidak berbuat apa-apa dan sesuatu berlaku, kami juga yang akan dipersalahkan. Tetapi bila kita cuba mengelak kejadian yang tidak diingini, mereka menuduh kami pula," katanya, sambil menafikan sekeras-kerasnya pokok selain pokok akasia turut ditebang.

Beliau menjelaskan pejabat perhutanan daerah tidak mempunyai kuasa untuk membayar kontraktor yang menebang pokok-pokok tersebut dan kerana itulah mereka dibenarkan menjual batang pokok berkenaan.

Mengenai dakwaan Dr Boo bahawa kerja pembalakan tersebut melanggar peraturan perhutanan kerana dalam jarak 20 meter dari tebing Sungai Bantang, pegawai berkenaan berkata, walaupun pembalakan seumpama itu adalah haram, tetapi kerja penebangan itu adalah sebahagian daripada aktiviti operasi pihak berkuasa dan tidak boleh dianggap sebagai kerja-kerja pembalakan.

Tambahnya, aktiviti kerja-kerja penebangan tersebut perlu disambung pada sebelah malamnya kerana trak yang digunakan telah rosak dan tidak dapat dibawa keluar.

Punca banjir

Dr Boo, bagaimanapun, kurang yakin dengan penjelasan pegawai berkenaan. Menurutnya, terdapat banyak pokok mati dan pokok-pokok lain yang ranting-rantingnya boleh jatuh menimpa pengunjung, tetapi tidak pula disentuh oleh pekerja terbabit.

"Mengapa mereka perlu menggali pokok-pokok tersebut menggunakan mesin pengorek sedangkan mereka boleh menebangnya," soalnya.

"Lagi pula, kawasan yang ditebang itu terletak sangat jauh dari kawasan letak kereta. Pengunjung tidak pun pergi berhampiran kawasan tersebut kerana lerengnya curam. Bahaya apa yang mereka katakan?" soalnya lagi.

Malah, kata Dr Boo, seorang pakar perhutanan yang juga bekas pembalak berlesen, yang memberitahu ahli-ahli DAP mengenai pokok meranti yang ditebang itu.

"Ia terpulang kepada jabatan perhutanan untuk membuktikan kepada kita semuanya dijalankan secara sah. Kami mempuyai foto untuk membuktikan dakwaan kami itu," kata Dr Boo.

Sebelum ini, beliau mendakwa aktiviti pembalakan haram itu adalah antara punca berlakunya banjir teruk di Segamat dan Kota Tinggi, yang mengorban 17 mangsa dan mengakibatkan lebih 90,000 penduduk terpaksa dipindahkan. Berita asal