Selepas Marcos Jr menang, Kit Siang beri amaran tentang 'zaman keemasan'
Kemenangan Ferdinand Marcos Jr pada pemilihan presiden Filipina membuktikan bahawa maklumat palsu dan penipuan di media sosial dan internet boleh boleh “dibersihkan” sebegitu sahaja, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Lim memberi amaran bahawa perkara sama boleh berlaku di Malaysia, membuka jalan kepada pemimpin yang tercemar seperti bekas perdana menteri Najib Razak untuk kembali berkuasa.
Sejak kekalahan BN yang dierajuinya pada pilihan raya umum ke-14, Najib giat menggunakan media sosial untuk berkempen dan mencuri tumpuan di sebalik dia sudah didapati bersalah dalam skandal 1MDB. Malah dia terus menarik kehadiran orang ramai ke majlisnya itu.
Berdasarkan latar ini, Lim berkata rakyat Malaysia mempunyai gunung yang perlu didaki untuk meyakinkan dunia bahawa negara ini bukan Filipina.

“Kita tidak melihat dekad yang lepas sebagai satu zaman keemasan sedangkan negara kita dikenali sebagai sebuah kleptokrasi ketika itu - memandangkan pilihan raya umum ke-15, bila pun ia diadakan, mungkin akan berlangsung dalam masa kurang daripada setahun dari sekarang.
“Adakah Malaysia mampu untuk membuktikan kita berbeza dengan Filipina - di mana maklumat palsu di media sosial dapat ‘mencuci’ kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa dalam dekad yang lepas untuk menggambarkan waktu ini sebagai satu zaman keemasan?
“Inilah perkara serius yang perlu difikirkan oleh rakyat Malaysia yang sayangkan negaranya selepas menyaksikan apa yang berlaku dalam pemilihan presiden Filipina semalam,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Lim berkata bahawa pilihan raya di Filipina itu adalah pemilihan yang memecahkan dengan mereka yang terselamat daripada kekejaman regim bapanya, Marcos - yang menyaksikan ribuan lawan politik diseksa, ditahan, dan dihilangkan serta wang sebanyak AS$10 bilion dirompak kini “dibersihkan” sebegitu sahaja.
Pengkritik juga berhujah bahawa Marcos Jr tidak membentangkan sebarang platform dasar yang jelas, sebaliknya hanya menyampaikan mesej perpaduan yang kabur.
Dia turut dikritik kerana mengelak perbahasan calon presiden dan hanya muncul beberapa kali sahaja dalam media semasa tempoh kempennya, membolehkannya untuk mengawal mesej kempennya melalui rangkaian berpengaruh dan blogger yang diberikan akses luas kepada acaranya.

Kempen media sosialnya disasarkan kepada golongan muda Filipina yang lahir selepas revolusi Kuasa Rakyat 1986 dengan penyebaran maklumat palsu yang mencabar fakta sejarah era undang-undang tentera Marcos.
Era ganas Marcos kini digambarkan semula sebagai satu era dengan pertumbuhan ekonomi dan projek infrastruktur yang pesat.

