Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM: Zizie akui terima wang pengenalan RM2.8 juta

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa isteri Ahli Parlimen Kinabatangan, Zizie Izette Abdul Samad mengaku menerima RM2.8 juta daripada seorang perunding unit amanah kerana memperkenalkan suaminya, Bung Moktar Radin berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Haris Ibrahim, 42, berkata Zizie Izette memaklumkan dia menerima wang pengenalan itu daripada Norhaili Ahmad Mokhtar semasa rakaman percakapan pelakon terbabit diambil oleh SPRM pada 27 Julai 2016.

"Saya tidak ingat berapa kali Datin Seri Zizie Izette memaklumkan perkara itu (wang pengenalan RM2.8 juta) tetapi memang ada," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam K Kumaraendran mewakili Zizie Izette pada perbicaraan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Kumaraendran: Adakah kamu bersetuju bahawa isu 'introduction fee' (wang pengenalan) daripada Norhaili telah dimaklumkan kepada SPRM pada 27 Julai 2016 dan Mohd Haris menjawab: Setuju.

Dalam prosiding sebelum ini, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan itu memandangkan dia memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Bung Moktar adalah pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu.

Mohd Haris, saksi pendakwaan ke-27 berkata rakaman percakapan Zizie Izette telah diserahkan kepadanya selepas seorang pegawai SPRM selesai merekodkan rakaman percakapan selebriti itu.

Penguasa Kanan SPRM itu juga bersetuju dengan cadangan peguam M Athimulan yang mewakili Bung Moktar, bahawa rakaman percakapan Zizie Izette dibuat mengikut Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM 2009 dan 'introduction fee' telah dinyatakan dalam rakaman percakapan tersebut.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Law Chin How mengapa rakaman percakapan pasangan suami isteri itu dibuat di bawah Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM 2009, Mohd Haris berkata semasa itu rakaman percakapan diambil sebagai rakaman saksi kerana tiada tangkapan dibuat terhadap mereka.

Menurut Mohd Haris, dia kemudiannya telah melengkapkan kertas siasatan dan mengemukakan syor kepada bahagian pendakwaan agar Bung Moktar dan Zizie Izette didakwa di mahkamah.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Dia juga didakwa menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Rozina Ayob bersambung 17 Mei ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS