Bicara 1MDB Najib tangguh ke petang
Perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB yang membabitkan Najib Razak yang dijadualkan bersambung pagi ini, ditangguhkan ke sebelah petang. Ini kerana bekas perdana menteri itu menghadiri pengebumian bekas ketua setiausaha sulitnya, Ab Aziz Kassim.
Peguamnya, Wan Aizuddin Wan Mohammed berkata, Najib dimaklumkan Ab Aziz meninggal dunia awal pagi tadi dan oleh sebab hubungan mereka yang rapat serta tempoh perkhidmatan yang lama, bekas perdana menteri itu memohon dikecualikan menghadiri perbicaraan pada pagi ini, untuk untuk hadir pengebumian.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, pendakwaan tidak membantah. Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permohonan itu.
Najib dalam satu catatan di Facebook berkata, Ab Aziz adalah seorang yang amat berkaliber, berpengalaman dan arif.
“Banyak membantu saya dan PMO dahulu. Orang lama PTD dalam perkhidmatan awam sejak 70-an.
“Takziah kepada ahli keluarga arwah atas kehilangan ini,” katanya.
Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.





