Paling Popular
Terkini

Sekumpulan pesara tentera mengumumkan untuk membawa isu kebajikan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke jalanan pada awal Jun depan.

Kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Suara Veteran mengumumkan hasrat itu dalam sidang media di sebuah masjid di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Pengerusi Suara Veteran, Komander (B) Abdul Rahman Husain berkata ribuan veteran ATM dari seluruh negara dijangka hadir bagi mengemukakan ketidakpuasan hati.

Katanya, mereka telah cuba berunding dengan pihak berwajib namun menerima maklum balas yang kurang memberangsangkan.

“Sudah lapan tahun kami berbincang tentang perkara ini. Ogos tahun lepas kami berjumpa dengan mantan menteri pertahanan yang sekarang merupakan perdana menteri kita. 

“Katanya akan dikaji masalah ini tetapi sampai sekarang belum ada sebarang kata putus.

“Kami tidak mempunyai pilihan lanjut melainkan untuk membawa perkara ini ke langkah yang seterusnya,” katanya.

Mereka antaranya menuntut pemberian pencen kepada veteran yang bersara awal.

“Jika kita lihat penjawat awam di sektor lain, mereka hanya bekerja lapan jam sehari dan selepas 10 tahun mereka layak terima pencen.

“Kita tengok kepada tentera kita pula, mereka memerah keringat 24 jam sehari selama 10 tahun, menggadaikan masa muda mereka untuk menjaga kedaulatan negara, tetapi masih tidak boleh diserapkan kepada pencen. 

“Setimpal atau tidak di situ?” soalnya.

Anggota tentera perlu berkhidmat selama 21 tahun untuk melayakkan mereka menerima bayaran pencen bulanan. 

Bagi yang memilih bersara awal, mereka terkecuali daripada manfaat ini.

Perhimpunan dinamakan Veteran Bangkit itu dirancang pada 6 Jun. Lokasi perhimpunan akan diumumkan kemudian.

Tubuh lembaga pengampunan 

Selain itu, Suara Veteran juga menuntut kerajaan mewujudkan lembaga pengampunan bagi pesara tentera yang diberhentikan kerana masalah disiplin.

“Ada pesalah disiplin ini diberhentikan di atas kesalahan mencuri gula kasar dan di atas sebab itu sahaja, mereka tidak mendapat faedah pesara tentera sehingga ke penghujung hayat,” kata seorang lagi pemimpin kumpulan itu Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi.

Mior Rosli - bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) -  berkata mereka yang disabitkan dengan kesalahan tidak serius tidak wajar dijatuhkan hukuman yang berat. 

“Kalau kita tengok ahli-ahli politik misalnya, ada di kalangan mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah tetapi selepas dua tahun boleh masuk balik bertanding dalam arena politik.

“Di manakah keadilan untuk veteran seperti kami ini,” katanya. 

Lihat Komen
ADS