Polis diarah menambah bilangan anggotanya di Johor bagi mencegah perbuatan kecurian di kawasan yang teruk dilanda banjir.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ekoran terdapat banyak aduan mengenai kes pecah rumah walaupun di tempat yang mempunyai paras air yang tinggi.

"Ini adalah satu perbuatan yang cukup terkutuk. Dengan itu perlulah ditingkatkan lagi kawalan kerana antara tugas polis ialah mengawasi tempat-tempat banjir supaya tidak berlaku kecurian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-12 di Cebu, Filipina semalam.

Di samping itu, menurut laporan Bernama, Abdullah juga mengingatkan penduduk bahawa mereka juga berperanan untuk mengambil tindakan bagi mencegah kecurian di kawasan masing-masing.

"Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberitahu, beliau akan menambah bilangan anggota polis di masa-masa banjir dan menghantar bantuan serta jaga keselamatan penduduk," katanya.

Abdullah juga mahu diwujudkan koordinasi antara polis dengan jabatan kerajaan yang lain bagi membantu pusat penempatan mangsa banjir, di samping memberi bantuan untuk pemindahan atau keperluan lain.

"Umumnya, kerja-kerja membantu mangsa banjir mengikut susunan atur kerja. Ini adalah penting terutama jika ia berlaku tanpa amaran," katanya.

Menurut Abdullah lagi, sebaik sahaja mangsa banjir pulang ke rumah, elok jika Kementerian Kesihatan memberikan mereka suntikan supaya tidak dijangkiti penyakit berjangkit.

Shahrizat terperangkap

Sementara itu, rombongan tujuh buah kereta yang membawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melawat pusat pemindahan banjir di Kampong Bentong Dalam di Johor Bahru, terperangkap dalam arus deras banjir kira-kira 6 petang semalam.

Shahrizat yang dihubungi Bernama memberitahu, paras air naik begitu cepat dan terus memasuki kereta pacuan empat roda yang dinaikinya sehingga menyebabkan kesemua anggota rombongan seramai 28 orang itu panik.

"Saya sedih hendak menceritakan apa yang berlaku, kami semua telah panik dan saya ingatkan kita semua akan lemas," katanya.

Shahrizat berkata, arus deras itu pada mulanya menenggelamkan kereta Proton Perdana yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Mahkota, Datuk Gapar Gurrohu yang berada di belakang sekali.

Kejadian itu menyebabkan rombongan itu tidak dapat berpatah balik, melainkan meneruskan perjalanan mereka tanpa mengetahui kederasan air mahupun kedalamannya.

"Semakin kita ke hadapan, air terus menjadi deras dan memasuki kereta dengan cepat, menyebabkan rombongan kita tidak dapat bergerak lagi kerana bimbang apa yang ada di depan," katanya.

Shahrizat berkata beliau terus menelefon Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan untuk meminta pertolongannya.

Bantuan polis

"Saya telefon IGP tiga kali nak minta tolong, dan dia nasihatkan saya supaya jangan panik dan tunggu di sana kerana beliau akan menguruskan segala-galanya," katanya.

Dalam keadaan panik itu, Shahrizat bertemu dua orang remaja yang sedang berjalan meredah air banjir yang deras itu untuk pulang ke rumahnya mereka.

Remaja itu memberitahu beliau yang laluan di depan sudah tidak boleh dilalui lagi kerana air terlalu dalam.

Ketenangan kedua-dua pemuda itu dalam menghadapi cabaran banjir dan tekad mereka untuk menyelamatkan harta benda keluarga mereka memberi semangat kepada Shahrizat dan rombongannya.

"Kita orang datang dari Kuala Lumpur tidak pernah menghadapi keadaan banjir seperti ini, tetapi dua orang pemuda itu kelihatan begitu tenang dan tidak kelihatan takut sekali pun," katanya.

Kata Shahrizat trak tunda polis datang tidak lama kemudian dan menarik keretanya serta mereka yang lain keluar daripada perangkap banjir itu.