Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar IPT disamun kawan lepas enggan ke bilik hotel

Seorang pelajar institutsi pengajian tinggi (IPT) cedera selepas ditumbuk pada mukanya, ditendang sebelum disamun oleh rakan lelakinya dalam kejadian di Jalan Kedai Mulong, Kota Bharu, kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga dikatakan ditinggalkan di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud, berkata mangsa yang berusia 20-an itu keluar bersama rakan lelakinya yang juga suspek kira-kira jam 10 malam untuk makan malam.

Katanya, selepas selesai makan malam, mangsa diajak suspek menemaninya untuk berjumpa dengan seorang rakan lain di sebuah hotel.

“Semasa berada di hotel itu, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan.

"Mangsa takut dan curiga dengan tindakan berkenaan menyebabkan dia meminta suspek menghantarnya pulang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran antara mereka. Susulan itu, suspek memberhentikan kereta dan bertindak menumbuk serta menendang mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Rosdi suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai mangsa sebelum meninggalkan wanita berkenaan di tepi jalan.

"Mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami bengkak serta lebam pada muka dan hidung. Dia kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu Mohd Rosdi berkata, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian tersebut.

“Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 20-an iaitu seorang anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Menurut Mohd Rosdi kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam selepas mereka tampil menyerah diri.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis berjaya selesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS