Jawatankuasa Jonker Walk mencadangkan supaya ‘uptown’ atau pasar malam di kawasan tumpuan pelancongan itu beroperasi setiap hari berbanding tiga hari seminggu pada masa ini, dalam usaha membangunkan ekonomi peniaga dan menghidupkan suasana di Jonker Walk khususnya pada hari biasa.
Timbalan Pengerusinya Datuk Gan Tian Loo berkata cadangan itu sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pihak terutama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri.
Beliau berkata pihaknya telah melakukan kajian bagi cadangan berkenaan dan ia mendapat sokongan daripada peniaga uptown dan kedai di kawasan tersebut.



"Kita telah membawa cadangan itu kepada MBMB dan BPP kerana kawasan berkenaan hanya 'hidup' pada hujung minggu kerana terdapat uptown pada waktu malam melibatkan 450 peniaga gerai yang menjual pelbagai produk.
"Sedangkan di Jonker Walk ini, kita juga mempunyai 200 peniaga yang berniaga di dalam bangunan kedai dan mereka mengharapkan kunjungan orang ramai ke Uptown Jonker Walk seperti hujung minggu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar berkaitan destinasi pelancongan itu di Melaka hari ini.
Beliau berkata penambahan bilangan hari operasi pasar malam berkenaan akan turut merancakkan sektor pelancongan negeri dan pelancong boleh berkunjung ke kawasan itu tanpa menunggu hujung minggu.
Katanya, pentas persembahan di Jonker Walk juga akan dibuka semula untuk aktiviti kesenian dan kebudayaan pada Jun ini bagi memeriahkan suasana uptown berkenaan.
Dalam pada itu, Gan berkata Jonker Walk menerima peruntukan sebanyak RM250,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada awal tahun ini untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf melibatkan kemudahan di kawasan itu yang dibuka pada 2010.
Beliau berkata kerja-kerja naik taraf itu melibatkan tandas awam, pintu gerbang serta Taman Warisan Dunia Jonker Walk dan MBMB telah membuka tender kepada kontraktor berminat untuk melaksanakannya.
"Kerja-kerja naik taraf ini penting untuk memberi keselesaan dan mewujudkan rasa selamat kepada pengunjung ke Jonker Walk selain memberi nafas baharu pada kawasan ini," katanya.
Beliau berkata selain itu, berdasarkan rekod imbasan kod QR MySejahtera ke Jonker Walk, sebanyak 302,939 pengunjung direkodkan ke uptown itu dalam empat bulan pertama tahun ini.
Katanya, jumlah pengunjung berkenaan adalah 88,048 orang pada Januari, Februari (66,671 orang), Mac (69,228 orang) dan April (78,992 orang).
- Bernama
